
Anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B berasa segan apabila netizen memberi pujian susulan tindakannya berjaya menghafal dan mengalunkan surah Ad-Dhuha dengan lancar.
Surah kegemaran

Menganggap perkara itu bukan luar biasa, Cik B atau nama sebenar Nur Edlynn Zamileen, 19, berkata, Ad-Dhuha merupakan salah satu surah kegemarannya yang sudah dihafal sejak usia tujuh tahun.
Saya segan sebab itu surah biasa saja, semua orang hafal. Saya mula amalkan sejak surah itu mula bermain di kepala saya dan sudah hafal sejak kecil umur tujuh tahun.
Berkongsi momen dirinya mengalunkan surah Ad-Dhuha bersama seorang pelayan restoran di Turki sepertimana yang tular dalam TikTok, Cik B memberitahu dia disapa secara tiba-tiba oleh individu berkenaan.
Ketika itu saya di restoran sedang makan tiba-tiba pakcik ini datang dan mula mengaji sambil bersembang, dia bertanya surah kegemaran saya.
Saya cakap Ad-Dhuha, selepas itu saya baca dan dia ikut sekali. Saya pun tak perasan adik saya rakam momen itu.
Saya suka surah ini kerana membawa makna Allah tetap sayang kita walaupun kita ini jahat. Ad-Dhuha ini juga surah yang memberi saya rezeki.
Surah ini selalu bermain di kepala saya, bila selalu teringat saya mula amalkan.
Sebelum ini, tular rakaman memperlihatkan Cik B mengalunkan surah Ad-Dhuha dengan lancar tanpa perlu melihat al-Quran sekali gus menyorot perhatian ramai.





