Presiden AS Donald Trump pada Rabu mencadangkan penukaran nama Selat Hormuz kepada "Selat Trump" di sebalik pertempuran berterusan dengan Iran – sebelum membayangkan beberapa jam kemudian bahawa dia tidak berhasrat serius mengenainya.
Trump membuat siri perubahan nama geografi terhadap nama antarabangsa dalam penggal keduanya, sekurang-kurangnya sebahagiannya bertujuan untuk menyindir negara lain.

Cadangan terbaru itu hadir ketika Trump menegaskan bahawa AS mempunyai kawalan penuh ke atas laluan air penting itu, walaupun pertempuran baharu terus bergelora di sana dengan Iran.
"Memandangkan sekarang kita sudah menguasainya di bawah kawalan AS, patutkah kita menukar nama Selat Hormuz kepada Selat Trump?
“Seperti Amerika sendiri, ia akan menjadi ‘lebih panas’ daripada sebelumnya!” tulis Trump dalam satu hantaran di rangkaian Truth Social miliknya.
Rumah Putih kemudian memuat naik peta Teluk di media sosial dengan nama yang dicadangkan itu sambil menambah: "Bunyinya agak menarik."
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump berulang kali mengancam untuk menuntut kedaulatan ke atas Selat Hormuz, malah memuat naik peta yang menunjukkan laluan air itu sebagai "wilayah baharu AS."

Bagaimanapun, Trump kemudian mengurangkan penekanan terhadap idea menjenamakan semula Selat Hormuz itu.
"Ia sekadar dilontarkan begitu sahaja," kata Trump sambil ketawa selepas seorang wartawan AFP bertanya kepadanya di Pejabat Oval sama ada dia serius mahu menukarkannya. Namun, beberapa cadangan terdahulu daripada pemimpin Republikan berusia 80 tahun itu pernah dianggap sebagai jenaka sebelum ia benar-benar dilaksanakan.
Minggu lalu, Trump menandatangani perintah menukar nama Tasik Ontario kepada "Tasik Amerika" di tengah-tengah peranang dagang dengan negara jiran Kanada, hanya beberapa hari selepas membangkitkan idea itu secara berseloroh.
Trump turut menukar nama Teluk Mexico kepada "Teluk Amerika" pada hari pertamanya kembali di Rumah Putih pada Januari 2025. Kedua-dua Mexico dan Kanada tidak menerima perubahan tersebut.
Dia juga giat menamakan pelbagai tempat bersempena namanya sendiri, termasuk pusat seni Kennedy di Washington, manakala Jabatan Perbendaharaan AS pada Rabu mengeluarkan syiling $1 yang menampilkan wajah Trump bagi menandakan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.
Perang Iran kekal sebagai isu yang sangat serius dan tiada tanda akan berakhir selepas lebih enam bulan serangan awal AS-Israel.
Pertempuran meletus semula selepas berminggu-minggu tenang, dengan pasukan AS melancarkan serangan baharu berhampiran Selat Hormuz pada Selasa sebagai tindak balas terhadap apa yang dikatakan oleh Trump sebagai usaha baharu penanaman periuk api oleh Iran.
Iran menyatakan salah satu serangan AS mengorbankan empat nyawa di majlis perkahwinan, sambil menyifatkannya sebagai "jenayah peranang", dan melancarkan gelombang serangan balas ke atas pangkalan AS di Jordan, UAE, Kuwait, Bahrain dan Iraq.





