Umno tidak menjemput kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 12 September ini, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, PAS pula diundang sebagai membalas jemputan parti itu ke Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, hujung minggu lalu.
“Ada ubi, ada bataslah. Jika mereka (PAS) jemput kita, kita jemput merekalah,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan keputusan menjemput kepemimpinan tertinggi PAS itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, PAU kali ini tidak akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan mana-mana gabungan, khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sebaliknya, perbincangan akan lebih menjurus kepada kesan dan risiko yang mungkin dihadapi Umno serta BN sekiranya sesuatu kerjasama politik dijalinkan.
“Masyarakat menginginkan orang Melayu menghubungkan perpaduan Melayu. Bukan hanya kepada Umno tetapi kepada parti-parti Melayu.
“Saya tidak mahu menghubungkan parti-parti Melayu tetapi pada keseluruhannya orang Melayu mahu supaya penyatuan Melayu direalisasikan semua,” katanya.
Umno dan PAS sebelum ini menjalinkan kerjasama politik secara rasmi menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 2019, selepas Umno dan BN menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan susulan keputusan PRU14.
Bagaimanapun, kerjasama itu tidak bertahan lama selepas landskap politik berubah susulan pembentukan PN pada 2020, yang turut membabitkan PAS dan Bersatu.
Menjelang PRU15, PAS memilih untuk kekal bersama PN, sekali gus menyaksikan kerjasama politiknya dengan Umno menerusi MN tidak diteruskan.
Hubungan PAS dan Bersatu pula semakin retak apabila PAS pada 8 Jun lalu secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Perkembangan itu disusuli hasrat Bersatu untuk membentuk gabungan politik baru.
PAS kemudian mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik daripada PN, namun Bersatu menegaskan kedudukannya sebagai anggota PN masih sah. Status keahlian Bersatu dalam PN kini menjadi pertikaian antara kedua-dua pihak.





