Mangsa banjir di Pahang terus menerima perhatian apabila Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Coway Malaysia turun padang menerusi Misi Bantuan Banjir sekali gus mengagihkan 4,000 Kotak Rezeki kepada keluarga terjejas.
Program yang menjadi pengubat duka itu bermula di dua lokasi iaitu Taman Pelangkah, Pekan pada 11 Januari lalu sebelum diteruskan di Dewan SAR KAFA Al Ubudiah Al Jariah, Taman Guru, Kuantan.
Setiap keluarga diberikan dua Kotak Rezeki yang mengandungi makanan kering serta barangan keperluan kebersihan diri bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kediaman terjejas akibat banjir bulan lalu.
Pengurus Bahagian Pemasaran Coway Malaysia, Janice Tan, berkata Coway sentiasa komited membantu komuniti yang berdepan situasi sukar.

“Dalam keadaan mencabar ini, Coway tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Kami percaya sokongan berterusan amat penting, sama ada dalam keadaan senang atau susah,” katanya.
Janice turut meluangkan masa meninjau beberapa rumah mangsa banjir di sekitar Kuantan, Pahang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Coway, khususnya di Pantai Timur.
Majlis pengagihan itu turut dihadiri ADUN Inderapura, Datuk Seri Shafiq Fauzan Sharif, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Pengarah APM Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman, Pengarah JKM Pahang Khairul Amri Ahmad serta Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Menurut Janice, secara keseluruhan sebanyak 4,000 Kotak Rezeki akan diagihkan kepada 2,000 mangsa banjir di lima lokasi melibatkan sesetengah daerah di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, Muhamad Safar berkata program berkenaan membuktikan komitmen Harian Metro bersama rakan korporat dalam membantu komuniti terkesan selain memperkukuh usaha CSR yang dilaksanakan sejak 2007.
Program TKHM bersama Coway Malaysia diteruskan dalam mengagihkan bantuan di Kelantan dan Terengganu

Misi bantuan Kotak Rezeki diteruskan ke destinasi ketiga iaitu Marang, Terengganu, apabila agihan diadakan di Dewan Sivik Merchang pada 15 Januari 2026.
Program ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir yang terkesan akibat bencana alam baru-baru ini, dengan menyediakan keperluan asas harian untuk membantu kelangsungan hidup mereka.
Antara penerima yang hadir ialah Hashim Omar, yang meluahkan rasa syukur selepas menerima bantuan tersebut.
“Bantuan ini mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, tapi sangat besar maknanya untuk saya. Keperluan harian ini amat membantu, lebih-lebih lagi bila ada keluarga besar. Kalau dinilai, nilainya boleh cecah ratusan ringgit,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Nasrul Mat Yusof berkata banjir kali ini merupakan kejadian ketiga dialaminya sepanjang 12 tahun menetap di Taman Pelangkah.
“Kami terpaksa berpindah ke PPS selama beberapa hari. Bantuan ini benar-benar meringankan beban selepas bencana,” ujarnya.
Luahan itu jelas menggambarkan betapa bantuan seperti ini memberi impak besar kepada mangsa yang sedang berusaha bangkit selepas dilanda musibah.
Selepas selesai di Terengganu, misi diteruskan pula ke Tumpat, Kelantan. Di sana, seramai 400 mangsa banjir menerima Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas untuk kegunaan seharian.

Menurut Editor Eksekutif (Produksi) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, bantuan ini bukan sekadar sumbangan fizikal, tetapi juga sokongan moral buat mangsa.
“Semua penerima adalah mangsa banjir baru-baru ini. Saya tahu bantuan ini tak mampu menggantikan segala kerugian mereka, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan perbelanjaan rumah dan menceriakan sedikit hati keluarga yang terkesan,” ujarnya.
Tahniah diucapkan buat TKHM dan Coway atas usaha murni dalam meringankan beban serta melegakan derita mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
The post “Bantuan Ini Sangat Bermakna” – Coway Dan TKHM Legakan Derita Mangsa Banjir Pantai Timur first appeared on OHBULAN!.





