Menjadi seorang bapa bukan sekadar membesarkan anak-anak, sebaliknya turut menjadi perjalanan penuh pembelajaran yang mengajar seseorang untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
Bagi pelakon Aeril Zafrel, setiap anak mempunyai karakter tersendiri dan pengalaman membesarkan mereka banyak mengajarnya tentang tanggungjawab serta kepentingan menunjukkan teladan yang baik.
Artikel Berkaitan: #TipsXTRA: Usia 40 Bukan Masa Untuk ‘Relax’ Semata! Aeril Zafrel Kongsi 5 Perkara Lelaki Kena Jaga
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Dulu Dapat RM1 Juta Terus Nak Berbelanja, Aeril Zafrel Kini Lebih Risau Nak Bayar Gaji 50 Pekerja
Bergelar Bapa Banyak Mendidik Aeril Zafrel
Menerusi #BabyXTRA, sebuah segmen khas yang membawa pembaca mengenali sisi sebenar selebriti ketika melalui kehidupan sebagai ibu dan bapa, pengalaman kehamilan, proses kelahiran, cabaran menjaga anak serta perubahan selepas berkeluarga turut dikongsikan dengan lebih dekat.
Bagi edisi #BabyXTRA minggu ini, Aeril berkata pengalaman membesarkan anak sulung menjadi proses pembelajaran buat dirinya dan isteri kerana ketika itu mereka masih belum mempunyai banyak pengetahuan mengenai keibubapaan.
Setiap anak itu perangai mereka lain-lain. Cara didikan pun tak sama. Untuk anak pertama, kami tak tahu semua benda jadi jadikan anak pertama itu sebagai ujikaji.
Jadi ada benda yang saya rasa anak kedua jangan buat macam ni. Contohnya, masa anak pertama kami didik dia jadi terlalu picky eater sampai sekarang.
Jangan Tunjuk Emosi Depan Anak-Anak
Dalam masa sama, Aeril menekankan kepentingan ibu bapa menjaga tingkah laku di hadapan anak-anak kerana setiap perbuatan yang ditunjukkan mampu mempengaruhi perkembangan emosi mereka.
Kena tunjuk benda yang positif depan anak. Contoh kalau tengah bergaduh dengan mak dia, jangan tunjuk depan anak-anak sebab benda itu akan mempengaruhi emosi mereka.
Secara tak langsung mendidik kita juga. Macam mana kita nak suruh anak sembahyang, mengaji kalau diri sendiri pun tak buat?
Sudah tentu kita buat kerana Allah Taala. Tapi dalam masa sama kena tunjuk imej yang baik kepada anak-anak.
Mengakui dirinya seorang bapa yang tegas, Aeril bagaimanapun memastikan hubungan bersama anak-anak sentiasa mesra tanpa mengabaikan aspek disiplin.
Saya seorang bapa yang garang, cuma saya pun ramah mesra dengan anak-anak. Mereka tak akan berani untuk buat muka.
View this post on Instagram
‘Saya tak pernah anggap itu pengorbanan’
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengorbanan terbesar sejak bergelar bapa, Aeril mempunyai pandangan tersendiri apabila menyifatkan segala usaha membesarkan anak-anak sebagai tanggungjawab dan bukannya satu pengorbanan.
Saya rasa tak pernah berkorban apa-apa sebab itu semua tanggungjawab saya. Apa pun orang lain rasa perkara itu adalah berat tapi bagi saya itu satu tanggungjawab.
Saya tak akan pernah mengeluh dan anggap itu satu pengorbanan. Saya lalui sebagai seorang ayah, satu benda yang menyeronokkan, perjalanan hidup sangat indah.
Saya harap apa yang saya lakukan selama ini akan dapat manfaat apabila saya dah tiada nanti,” katanya.
Bagi Aeril, perjalanan sebagai seorang bapa bukan hanya tentang membentuk peribadi anak-anak, tetapi turut mendidik dirinya menjadi insan yang lebih baik demi keluarga tercinta.
The post #BabyXTRA: ‘Jangan Bergaduh Depan Anak-Anak’ – Aeril Zafrel Kongsi Prinsip Didikan Dalam Keluarga first appeared on OHBULAN!.





