
Terlihat ceria apatah lagi baru sahaja melancarkan lagu raya, ternyata penyanyi dan penulis lirik, Aisha Retno kini sedang melalui fasa bersedih selepas putus cinta dengan seorang jejaka.
Putus cinta

Meskipun ikatan cinta sudah terlerai, Aisha atau nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, bagaimanapun memberitahu hubungan mereka berdua masih baik sebagai kawan.
Malah, dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak kerana percaya apa yang terjadi merupakan takdir.
Biasalah, bila seseorang itu memilih untuk berlalu dan pergi. Saya sudah dewasa. Kita tak boleh nak menahan orang lain untuk terus bersama kita. Dari sisi lain, saya jadikan kisah itu inspirasi untuk menulis lagu.
Kami sudah berkenalan dalam beberapa bulan. Mungkin kini saya akan lebih fokus dalam kerjaya. Pada saya, putus cinta merupakan perkara biasa.
Lagipun, buat masa ini, agak sukar untuk mencari seseorang yang faham cara kerja kita sebagai anak seni. Namun, saya tidak pernah nak menyalahkan pihak di sana.
Kami masih berkawan baik. Saya lebih suka mengekal hubungan baik ini. Dalam dunia ini, pusing-pusing ke mana pun kita akan berjumpa juga. Malaysia ini bukanlah besar sangat.
Penyanyi lagu Ketipak Ketipung Raya itu berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama pihak media dan peminat yang berlangsung di Taema Bnglw, Ampang, baru-baru ini.
Inpirasi buat lagu

Enggan terlalu lama larut dalam emosi, Aisha berkata, dia tumpahkan segala perasaan sedihnya itu dalam penulisan lagu yang bakal di muat naik dalam album sulungnya nanti.
Dengarkanlah album terbaharu saya nanti. Saya tumpahkan segala emosi di situ. Mungkin orang anggap hal ini sebagai sesuatu yang jenaka tapi ketika saya menuliskan lagu, air mata saya juga menitis.
Bila saya menulis lagu buat seseorang, sudah tentu dia memberi kesan dalam hidup saya. Saya ingatkan insiden konsert batal itu sudah cukup sedih. Ternyata ada lagi yang lebih menyedihkan.
Buat masa sekarang, saya memang serik bercinta. Biarlah saya fokus dengan kerjaya. Siapa yang nak datang, saya terima sahaja.
Dalam perkembangan lain, Aisha dan penyanyi, Aziz Harun bakal melancarkan lagu Ketipak Ketipung Raya 2.0, hari ini.





