PARLIMEN l Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengingatkan ahli Parlimen bahawa Dewan Rakyat adalah dewan yang mulia untuk membahaskan perkara-perkara yang berkepentingan awam.
Dalam titah perasmian di Parlimen hari ini, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa ia bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun, atau menabur fitnah.
“Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat.
“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Seri Paduka di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Seri Paduka, berdasarkan pemerhatian baginda dalam persidangan dewan tahun lepas, ahli-ahli dewan kini telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan.
Kenyataan itu disambut dengan tepukan gemuruh.
“Tahniah kepada semua.
“Namun begitu ada juga segelintir yang sukar untuk membuang tabiat lama. Tidak perlu saya senaraikan peranangai buruk tersebut kerana saya percaya setiap ahli sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing,” titah baginda.
Sultan Ibrahim juga bertitah baginda menghargai perananan semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara.

Semasa sidang parlimen pada Februari tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong juga memberi peringatan serupa dan kebenaran kepada Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara untuk menggantung anggota yang berkelakuan tidak sopan hingga 14 hari.
Pada bulan Julai lalu, anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal digantung selama enam bulan setelah merujuk kepada 'surat layang berhubung tuduhan yang tidak disahkan terhadap kakitangan awam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kemudian mempertahankan keputusannya pada sidang Oktober, di mana Wan Ahmad Faysal juga dilarang duduk di galeri.
Bulan berikutnya, iaitu pada November, seorang lagi anggota parlimen pembangkang diperintahkan untuk meninggalkan Dewan Rakyat setelah berlaku pertikaman lidah berhubung penggunaan bahasa Cina pada papan tanda.

Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim diarahkan keluar oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau setelah terus-menerus terlibat dalam pertengkaran lisan dengan Chong Zhemin (PH-Kampar).
Awang sekali lagi digantung selama 10 hari pada bulan Disember oleh Johari kerana gagal memohon maaf berhubung kenyaannya yang didakwa menghina speaker dalam video TikTok, meskipun telah diminta berulang kali, termasuk melalui surat rasmi.





