Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai ini.
Presidennya, Hamzah Zainudin, berkata sebaliknya parti itu akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan dan yang penting ketika ini adalah memastikan perananan Wawasan sebagai menjadi jambatan penyatuan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Di Johor ini adalah gelanggang pertama selepas PRN Sabah, maka saya sebagai presiden yang baru, saya nak perhatikan supaya kita ambil tindakan yang paling baik.
“Jadi kita buat keputusan untuk tidak serta PRN Johor,” katanya kepada wartawan semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Hamzah berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa pertimbangan dan menegaskan berkata pihaknya kekal menyokong mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memenangi kerusi pada pilihan raya itu.
“Tidak sertai tidak bermakna tidak sokong mana-mana calon. Kita sokong barisan calon-calon yang layak untuk menguruskan negeri Johor pada masa akan datang,” katanya.
Ditanya jika Parti Cinta Malaysia (PCM) yang cuba ditukar namanya itu mampu bekerjasama dengan Bersatu yang sebelum ini memecatnya, bekas timbalan presiden parti itu berkata, ia turut akan dipertimbang.
“Saya sedang melihat segala apa yang mereka (Bersatu) nak ambil (tindakan), fikir saya sebagai seteru atau mereka nak fikir parti ini sebagai kawan mereka dalam PN,
“Semua itu akan diambil kita,” katanya sambil menambah bahawa ini memandangkan kedua-dua parti itu kini berada dalam gabungan PN.
"Kalau dianggap sebagai seteru, maka berseterulah kami. Sebab itu sekarang saya sedang melihat segala kenyataan yang mereka keluarkan.
"Sama ada mereka mahu melihat saya sebagai seteru atau mahu melihat parti ini sebagai rakan mereka dalam PN, semua itu akan diambil kira," katanya.
Kemelut PN timbul apabila Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu melalui kenyataan Selasa lalu mempersoal tindakan PN menerima keanggotaan PCM sebagai anggota gabungan itu, dengan dakwaan langkah berkenaan hanya akan menambah masalah dalaman sedia ada.
Dia berkata bantahan itu dibuat atas dasar PN ketika ini masih berdepan isu antara parti anggota selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Pada masa sama, Ahmad Faizal mendakwa permohonan PCM yang diambil alih oleh kem seteru Bersatu daripada kumpulan Hamzah Zainudin untuk menyertai PN tidak teratur selepas semakan mendapati terdapat isu berkaitan jawatan kepimpinan dan penggunaan nama parti.
Dakwanya permohonan itu dibuat Saifuddin Abdullah selaku setiausaha agung PCM, namun rekod rasmi menunjukkan setiausaha agung PCM bagi tempoh 2026 hingga 2027 ialah Yeo Kwee Kwang.
Dakwanya lagi maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan pula menggunakan nama Parti Wawasan Negara (Wawasan) sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.
Tambahnya, wakil Bersatu turut membangkitkan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN tadi dan berpandangan mesyuarat berkenaan perlu ditangguhkan susulan maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Katanya JPPM sebelum itu memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan kepada jabatan berkenaan tidak lengkap dan tiada tandatangan.





