Abdul Hadi Awang hari ini menggariskan secara jelas peranancangan PAS melalui kerjasama PN dengan BN menghadapi siri pilihan raya yang akan datang dengan matlamat menjatuhkan PH.
Berucap di majlis Konvensyen PAS Johor di Ayer Hitam, Presiden PAS itu mengesahkan andaian orang ramai bahawa mereka akan bertahan di negeri yang sedang ditadbir – Kelantan, Terengganu, Kedan dan Perlis.
Di negeri lain, kata Abdul Hadi, PAS sedia memberi ruang kepada BN untuk menjadi kerajaan seperti di Johor dan Negeri Sembilan.
"Sebab itu kita (PAS) mahu perpaduan ummah. Biar Umno mentadbir Johor; Kelantan, Terengganu belah Perlis, kita PAS (sebab jadi kerajaan) lebih dulu,” katanya.
Dan Ahli Parlimen Marang itu memberikan alasan mengapa ‘formula’ itu wajar diterima.
Menurut Abdul Hadi, PAS membuktikan “tiada rasuah” dan mereka mewujudkan “kerajaan bersih” selama mentadbir Kelantan sejak 30 tahun lalu.
Orang bukan Islam pula, tambahnya, tidak perlu bimbang kerana yang akan menjadi kerajaan nanti bukanlah PAS semata-mata, sebaliknya akan bersama parti lain demi menunjukkan bagaimana “Islam memerintah.”
"(PAS) Memerintah bersama (untuk) masyarakat majmuk.
“Kita nak tunjuk bagaimana Islam memerintah," katanya dalam ucapan perasmian konvensyen berkenaan hari ini.
Orang PAS ‘jaga gol’
Kenyataan itu dibuat ketika PAS – yang kini menguasai PN – belum mencapai persefahaman dengan BN untuk menghadapi PRN Melaka ketika tarikh pembubaran DUN berkenaan dijangka berlaku tidak lama lagi.
Keadaan adalah berbeza apabila kedua-dua parti gabungan itu melalui PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Isu utama yang melatari perbincangan di antara PN dan BN berkisar kepada jumlah kerusi yang ingin ditandingi kedua-dua pihak.
BN sebelum ini sudah menyatakan mahu mempertahankan semua 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka yang mereka menangi pada PRN 2021. PAS pula pernah menyatakan mahu meletakkan calon di 15 atau 16 kerusi.
Pada masa sama BN menghantar isyarat bahawa kali ini mereka terbuka untuk meneroka kerjasama dengan PH.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Abdul Hadi berkata PAS sudah berkorban untuk BN dalam PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai lalu sehinggakan mereka tidak memenangi sebarang kerusi.
Keadaan itu, katanya, membuatkan ada penyokong PAS rasa kecewa.
"Orang PAS dukacita, kosong tak dapat kerusi (di Johor)... kita ambil sikap orang PAS jaga gol biar Umno jadi penyerang.
“Umno jadi penyerang, kita bertahan, suruh orang PAS undi Umno," katanya berkias.
Pada masa sama Abdul Hadi secara tidak langsung mengingatkan bahawa BN mungkin kecundang sekali lagi seandainya PN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN Johor.
"Pilihan raya di Johor ini, kalau PAS tanding semua, BN tanding semua, PH akan menang balik.
“PAS tak kuat di Johor ini, Umno sangat kuat. Maka kita tandinglah 11 kerusi (manakala) Umno (BN) tanding semua.
“Semasa pilihan raya tu kami buat kenyataan supaya orang PAS undi Umno. Orang PAS pening, orang Umno pening.
"(Tujuan arahan begitu dibuat ialah) Nak sekat supaya PH tak menang. Kalau tanding banyak penjuru akan jatuh Johor ini (kepada PH)," katanya lagi.
Tambah Abdul Hadi lagi PAS juga sanggup menjadi parti kecil dalam kerajaan Negeri Sembilan demi mengalahkan PH dan membuka jalan agar BN kembali menerajui kerajaan.





