Polis telah mengambil keterangan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung tulisannya mengenai DAP baru-baru ini.
Setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman berkata Hadi telah memberikan kenyataan kepada polis di Kuala Lumpur minggu lalu.
"Siasatan minggu lepas.
"Presiden beri kerjasama sepenuhnya. Jika ada pertuduhan, presiden sedia jawab di mahkamah," kata Syahir ketika dihubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, Syahir yang juga Ahli Parliman Bachok itu tidak menyatakan artikel spesifik yang membawa kepada siasatan terhadap Hadi.
Terdahulu, dalam catatan media sosial, Syahir menulis bahawa Hadi telah diambil keterangannya susulan beberapa laporan yang telah dibuat mengenai tulisan presiden PAS itu yang dikatakan menyinggung DAP.
Hadi menulis di ruangan tetap bertajuk "Minda Presiden PAS" dalam portal Harakah.
Sejak beberapa minggu lalu, Hadi mengkritik pemimpin DAP, termasuk menyifatkannya sebagai parti yang meneruskan "warisan penjajahan meminggirkan orang Melayu dan Islam".
Hadi juga mengkritik Malaysiakini sebagai salah satu saluran media yang menyokong DAP dan membantu menyebarkan "ajaran sesat" parti itu tentang sekularisme.
Susulan itu, empat pemimpin Melayu DAP telah mengkritik tulisan Hadi kerana "menyemai kebencian" dan menggunakan "senjata" yang mengeksploitasi Islam untuk kepentingan politiknya.
Sementara itu, pada 19 Ogos, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, melahirkan rasa sedih selepas Hadi menuduh partinya mengagung-agungkan Parti Komunis Malaya (CPM) dan mendakwa bahawa Akta Pembaharuan Bandar yang dicadangkan adalah strategi untuk menghalau orang Melayu yang miskin.
Dalam catatan media sosialnya hari ini, Syahir menolak kritikan DAP terhadap Hadi dan PAS.
"Apa yang jelas ialah DAP kini dihakimi oleh pengundi dan ditolak di Sabah, diketepikan di Johor dan dilumpuhkan di Negeri Sembilan," katanya merujuk kepada rentetan kekalahan yang dialami DAP dalam pilihan raya negeri (PRN).
Syahir berkata nasib yang sama boleh menimpa DAP dalam PRN Melaka dan Sarawak yang akan datang.
"DAP hanya boleh diselamatkan melalui undi perwakilannya manakala keputusan di peti undi menunjukkan sebaliknya," katanya.





