Jika keputusan PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu menceritakan kisah kejayaan besar BN dan PN menamatkan penguasaan selama lapan tahun PH di negeri itu, keputusan undian untuk kerusi Nilai menawarkan nota kaki yang lebih khusus dan menarik.
Dengan orang Melayu membentuk kurang daripada separuh (46 peratus) pengundi kerusi itu berbanding 30 peratus pengundi Cina dan 20 peratus pengundi India, pertandingan lima penjuru untuk Nilai menyaksikan BN – melalui calon MCA – berada di tempat kedua dengan 30.4 peratus undi.
Calon PH, J Arul Kumar dari DAP, muncul sebagai pemenang dengan 48.8 peratus undi, membolehkan dia mengekalkan kerusi itu untuk penggal keempat di sebalik penyusutan majoriti daripada 47.3 peratus pada 2018, menjadi 37.7 peratus pada 2023, dan 18.3 peratus kali ini.
Keputusan yang lebih menarik ialah pencapaian Berjasa. Calon parti itu, Zamani Ibrahim – yang bertanding sebagai satu-satunya calon Melayu-Islam "tersusun" di situ – memperoleh 18 peratus undi dan berada di depan calon Bersatu, V Saravana Kumar.
Seperti ramai calon Bersatu lain di Negeri Sembilan, Saravana Kumar juga hilang deposit selepas hanya memperoleh 718 undi (2.2 peratus) berbanding jumlah keseluruhuan pengundi yang keluar pada hari tersebut (32,753 orang atau 71.3 peratus).
Perpecahan itu menunjukkan bahawa naratif "perpaduan Melayu" yang dibawa BN dan PN sepanjang kempen mungkin mencapai matlamatnya dari segi kejayaan pilihan raya, di samping menghasilkan impak yang lebih radikal.

Seperti yang dibuktikan di Nilai, sebahagian pengundi Melayu mungkin tidak bersedia untuk menyokong calon bukan Melayu yang mewakili BN dan PN, sebaliknya memilih untuk mengundi Berjasa walaupun dia berkemungkinan besar kalah.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpendapat sebahagian pengundi Melayu-Islam – termasuk yang bersimpati kepada PAS atau politik identiti – menyokong Berjasa kerana menawarkan calon Melayu-Islam yang paling tersusun.
Katanya keputusan agregat tidak membuktikan semua pengundi PAS menyokong Berjasa, dan Zamani juga bukan satu-satunya calon Muslim di kerusi itu kerana ada Omar Isa, seorang calon bebas dan mendapat 167 undi.
“Sesetengah pengundi mungkin sekadar memberikan undi protes terhadap ketiga-tiga gabungan utama (BN, PN dan PH) atau bertindak balas terhadap identiti dan kempen calon,” katanya.
Situasi itu, kata pensyarah kanan berkenaan, menunjukkan bahawa selain label sesebuah parti, pertimbangan penting bagi pengundi juga boleh merangkumi identiti calon, faktor agama, dan kredibiliti tempatan.
Kesan dari PRN Johor
Dia menambah keputusan di Nilai juga menunjukkan bukti paling jelas bagaimana logo Bersatu masih gagal menarik sokongan pengundi Melayu secara automatik apabila mereka meletakkan calon bukan Melayu.
Katanya, keputusan juga menunjukkan sokongan Melayu Bersatu tidak begitu diinstitusikan dan mungkin sebelum ini banyak bergantung pada hubungannya dengan PAS dan jenama PN yang lebih meluas.
Penelitian kerusi itu juga boleh memberi implikasi lebih daripada isu Bersatu, dengan perunding politik, Adib Zalkapli, berpendapat ia boleh menjadi pengajaran taktikal buat BN.
Pengarah urusan Viewfinder Global Affairs itu berkata untuk PRU akan datang, BN mungkin wajar mempertimbangkan langkah meletakkan lebih ramai calon Melayu-Islam dari Umno di kerusi tradisi MCA atau MIC.

Selain Nilai, bacaan penganalisis mengenai kedudukan keseluruhan Bersatu juga lebih suram dengan Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia menganggap parti itu sebagai kehilangan kekuatan dan berdepan tugas amat sukar untuk pulih daripada kekalahan teruk.
Menegaskan bahawa trajektori Bersatu menuju ke aratidak relevan, Azmil berkata, ia boleh dikaitkan dengan kekurangan kapasiti mobilisasi dan kesetiaan yang berkekalan daripada penyokongnya.
Keputusan di Negeri Sembilan, tambahnya, adalah kesan kepada pencapaian Bersatu di Johor sebelum itu.
Semasa PRN Johor pada 11 Julai lalu, 10 daripada 16 calon Bersatu kehilangan deposit walaupun mereka bertanding menggunakan lambang PN.
Sebagai parti pemecah undi
Azmil melihat kekalahan berulang Bersatu itu sebagai bukti perubahan asas sokongan pengundi Melayu yang mengukuhkan pada parti lain dan ia boleh berulang di semua kerusi majoriti Melayu dalam pilihan PRU ke-16.
Adib pula berpendapat Bersatu dilemahkan dengan ketara oleh ahli parlimen dan pemimpin kanannya sendiri dengan menyertai Wawasan pimpinan Hamzah Zainudin.
Dengan kepimpinan Bersatu yang kian berkurangan, kata Adib, parti itu memerlukan masa lebih lama dan sumber lebih banyak untuk pulih. Justeru dia tidak yakin Bersatu sempat menyiapkan diri untuk menghadapi PRU akan datang.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula melihat kesan yang menimpa Bersatu boleh dikaitkan dengan "konflik dan perpecahan" yang tidak dapat diselesaikan presiden parti berkenaan, Muhyiddin Yassin.

"Saya yakin dengan kepimpinan dan pengalaman Muhyiddin, Bersatu dapat bangkit semula pada masa hadapan," katanya.
Bagi Tawfik, Bersatu perlu mengemukakan kepimpinan baru agar parti itu dapat mewujudkan identiti politik yang tidak lagi berlegar di sekitar sosok serta legasi Muhyiddin.
Mengakui bahawa Bersatu mengalami “keruntuhan pilihan raya" di Negeri Sembilan, Tawfik berkata, mungkin terlalu awal untuk menggambarkan parti berkenaan sebagai "kuasa yang telah musnah sepenuhnya" di peringkat nasional.
Pilihan buat penyokong Bersatu
Untuk bangkit semula, katanya, ia mungkin memerlukan lebih daripada sekadar perubahan dalam strategi kempen.
Selain cabaran untuk menyelesaikan isu hubungan tegang dengan PAS dan Wawasan, Tawfik mengingatkan, kegagalan menguruskan krisis berkenaan boleh membawa Bersatu sebagai ‘pengacau’ kerana memecahkan undi parti lain.
Pada masa sama, katanya, dalam keadaan begitu Bersatu tetap gagal memenangi sebarang kerusi.
Katanya keadaan itu dapat dilihat pada keputusan PRN Negeri Sembilan yang menunjukkan Bersatu tidak lagi mempunyai pengaruh ke atas pengundi Melayu yang mencari alternatif kepada Umno.
“PRN Negeri Sembilan tidak semestinya menjadi detik kematian segera Bersatu, tetapi menunjukkan parti itu bergelut untuk terus wujud dan relevan dalam kalangan parti pembangkang Melayu,” katanya.
Mengenai parti mana yang boleh disokong oleh pendukung Bersatu yang kecewa, Tawfik berkata ada dua pilihan buat mereka.
Pertama, katanya, PAS untuk pengundi yang mahukan parti membawa “identiti ideologi dan agama yang lebih jelas” serta disokong oleh disiplin akar umbi, atau Wawasan untuk golongan nasionalis Melayu yang tidak selesa dengan orientasi Islam PAS.
Umno, tambahnya, mungkin juga dapat semula sokongan pengundi pragmatik yang mengutamakan kestabilan, dan akses mudah kepada kerajaan.
[Baca laporan asal]





