31.7 C
Kuala Lumpur
Monday, August 10, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Presiden PAS perlu adil pada DAP

    Shopee Sale

    Menerusi kolum "Minda Presiden PAS" bertajuk “DAP memimpin PH menyambung kerja penjajah hapuskan Melayu Islam”, presiden PAS mendakwa DAP sedang mendominasi PH. Parti itu juga dituduh meneruskan agenda penjajah bagi melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

    Seperti diduga, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS (DUPP), Mohd Nor Hamzah menyokong kenyataan presidennya.

    Mohd Nor berhujah, kenyataan presiden PAS dibuat bersandarkan akidah dan sejarah, bukan sentimen perkauman.

    Dia juga mendakwa percaturan politik tidak boleh dipisahkan daripada lipatan sejarah panjang Tanah Melayu yang perlu difahami rakyat.

    Mohd Nor Hamzah

    Dan, katanya, kenyataan presiden PAS untuk menyedarkan masyarakat mengenai pertembungan akidah dan jati diri menentang doktrin penjajahan baharu.

    Sebelum pergi lebih jauh saya ingin bertanya soalan ini kepada presiden PAS dan mereka yang menyokong kenyataan itu, “sejak bila agaknya DAP menyambung kerja penjajah bagi menghapuskan Melayu-Islam? Adakah sejak dari dulu atau hanya mutakhir ini?”

    Jika hanya baru-baru ini sahaja DAP mempunyai agenda menyambung kerja penjajah bagi menghapuskan Melayu-Islam, secara tersirat presiden PAS seolah-olah menuduh pemimpin Islam-Melayu dalam PH–khususnya Amanah dan PKR–tidak peduli akan agenda DAP. Sekali gus mereka juga boleh dituduh bersubahat dengan DAP.

    Mungkin elok juga Presiden PAS mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan liar itu kerana beban mengemukakan bukti terletak di atas bahu pihak yang menuduh. Dan mungkin elok juga presiden PAS membuat laporan polis supaya dakwaannya itu disiasat.

    Manalah tahu presiden PAS dan penyokong beliau mungkin ada berlori-lori bukti. Seperti kata arwah AR Tompel dalam filem Do Re Mi, “takkanlah pak lebai nak menipu”.

    Jika benar dakwaan presiden PAS bahawa DAP menyambung kerja penjajah bagi menghapuskan Melayu-Islam, dari segi perundangan boleh dihujahkan DAP mungkin melakukan jenayah mensabotaj Perlembagaan negara yang jelas melindungi agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu.

    Menurut pakar Perlembagaan, kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu adalah sebahagian daripada indigenous elements Perlembagaan Persekutuan.

    Atau adakah Presiden PAS hanya mengeluarkan kenyataan semberono tanpa usul periksa?

    Karpal bela wanita berpurdah

    MENARIK:  Mohd Amar: Jangan hukum K'tan hanya kerana segelintir

    Dan seandainya sejak dari dulu lagi DAP memang mempunyai agenda menyambung kerja penjajah bagi menghapuskan Melayu dan Islam, mengapakah PAS sendiri sanggup berkawan dan mengadakan persefahaman politik bersama mereka sebelum ini?

    Agak lucu di Perak pada satu waktu dahulu meskipun DAP memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, DAP–yang dikatakan mempunyai agenda menyambung kerja penjajah bagi menghapuskan Melayu-Islam itu–jugalah menerima Adun PAS untuk menjadi menteri besar Perak.

    Dan apabila kerajaan Negeri Perak ditumbangkan melalui “rampasan kuasa”, mengapakah PAS membantah plot “kudeta” tersebut?

    Logiknya jika benar DAP mempunyai agenda menyambung kerja penjajah bagi menghapuskan Melayu-Islam, sepatutnya DAP bersetuju dengan tindakan Umno/BN di Perak tersebut.

    Telah menjadi rahsia terbuka bahawa banyak kenyataan, sama ada dari presiden dan pemimpin PAS, mempertahankan DAP daripada pelbagai fitnah dan dakwaan liar. 

    Dan agak menarik juga, DAP–yang dikatakan mempunyai agenda menyambung kerja penjajah bagi menghapuskan Melayu-Islam–pernah menghantar tokoh peguamnya Karpal Singh bagi membela Halimatussaadiah Kamaruddin yang dipecat kerana memakai purdah.

    Dan ramai juga yang keliru kerana ada seorang pemimpin Melayu-Islam yang pernah mencabar Enakmen Hudud PAS di Kelantan kini diterima menjadi ahli PAS.

    Agak aneh Mohd Nor Hamzah mendakwa kenyataan presiden PAS dibuat bersandarkan akidah dan sejarah, bukan sentimen perkauman. Saya tidak berhajat untuk berbahas lebih panjang tentang soal itu selain berkata bahawa berdasarkan faktor akidah dan sejarah hakikatnya kenyataan presiden PAS itu, maaf cakap, tidak ada tempat dalam sejarah.

    Sejujurnya saya tidak hairan sama sekali jika ada pemimpin PAS lain hatta ketua penerangan Dewan Ulama PAS (DUPP) menyokong kenyataan presiden PAS kerana budaya walak yang kukuh dalam PAS memudahkan pemimpin, anggota, penyokong dan pendukung PAS untuk cenderung menyokong kenyataan presiden mereka.

    Akhirnya, meskipun presiden PAS berhak mengkritik DAP, mungkin kritikan itu perlu adil dan saksama agar ia lebih mudah dihormati oleh lawan dan kawan.


    MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah mantan timbalan menteri undang-undang yang bergiat bersama Amanah.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah