31.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pemuda PKR gesa siasatan dapatan RCI TH fokus 3 isu kritikal

    Shopee Sale

    Pemuda PKR (AMK) menggesa fokus siasatan dan tindakan susulan daripada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) ditumpukan kepada tiga isu paling kritikal.

    Naib ketuanya Dr Mohammed Taufiq Johari berkata ia melibatkan kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik, kelemahan pelaporan kewangan, dan pengiktirafan kerugian serta agihan hibah yang tidak selari dengan kedudukan kewangan.

    “RCI mengenal pasti kelemahan serius dalam tadbir urus TH, termasuk struktur pelantikan lembaga yang tidak menetapkan syarat kelayakan dan kepakaran yang mencukupi.

    “RCI turut merekodkan penglibatan ahli politik dalam kedudukan kanan TH serta pengaruh pertimbangan politik dalam beberapa keputusan penting.

    “Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap kebebasan, profesionalisme dan kebertanggungjawaban pengurusan institusi yang mengurus simpanan jutaan umat Islam ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Anggota Parlimen Sungai Petani itu berkata demikian sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, agar siasatan berhubung dapatan RCI TH dijalankan secara menyeluruh, telus, dan tanpa sebarang kompromi.

    Terdahulu Sultan Ibrahim menyeru agar siasatan terhadap penemuan RCI TH diteruskan “hingga ke lubang cacing”.

    Taufiq berkata titah tegas baginda agar pihak penguat kuasa menjejak pesalah "hingga ke lubang cacing" mencerminkan keprihatinan mendalam terhadap integriti institusi yang memegang amanah jutaan umat Islam sejak sekian lama.

    Mengulas lanjut, Taufiq berkata, RCI mendedahkan persoalan serius berhubung cara kedudukan kewangan institusi itu dilaporkan, termasuk pengiktirafan kerugian dan kemerosotan nilai pelaburan.

    “Sebagai contoh, bagi 2017, TH melaporkan keuntungan sekitar RM3.4 bilion, sedangkan selepas mengambil kira pelarasan yang dinyatakan RCI, hakikatnya menunjukkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion.

    MENARIK:  Ismail Sabri tak sedarkan diri, dikejarkan ke hospital

    “Jurang besar ini menimbulkan persoalan terhadap sejauh mana ketepatan gambaran kewangan yang menjadi asas kepada keputusan pengurusan dan agihan hibah,” tegasnya.

    Kata menteri belia dan sukan itu lagi, RCI juga mendapati keputusan membayar hibah pada kadar tinggi dalam tempoh tertentu dibuat ketika kedudukan kewangan TH berada di bawah tekanan, sehingga membawa kepada penghakisan rizab.

    “Dari sudut ekonomi, pulangan kepada pendeposit perlu disokong oleh prestasi pendapatan dan kedudukan aset sebenar institusi, bukan semata-mata untuk mengekalkan kadar hibah yang tinggi demi laba politik, namun boleh memberi dampak kewangan yang buruk di masa depan.

    “Jika hibah diagihkan ketika kemampuan kewangan tidak mencukupi, ia akhirnya boleh menjejaskan daya tahan kewangan TH dan kepentingan jangka panjang pendeposit,” katanya.

    Tambah Taufiq, ketiga-tiga isu itu saling berkait iaitu kelemahan tadbir urus boleh mempengaruhi kualiti keputusan, kelemahan pelaporan kewangan boleh mengaburkan kedudukan sebenar institusi, manakala keputusan agihan hibah yang tidak sepadan dengan kemampuan kewangan boleh menghakis rizab.

    “Inilah antara persoalan asas yang perlu diberi perhatian serius susulan pendedahan RCI TH sebelum ini.

    “Sejajar dengan syor RCI dan titah Agong semalam, AMK menggesa pasukan khas penguat kuasa, yang dianggotai SPRM dan PDRM, menjalankan audit forensik secara mendalam bagi meneliti jejak wang (money trail) serta mendakwa mana-mana dalang yang bertanggungjawab atas penyembunyian maklumat mahupun kecurangan amanah,” jelasnya lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah