Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengesahkan bahawa Bersatu masih merupakan parti komponen gabungan itu.
Pendirian tersebut bercanggah dengan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa Bersatu telah terkeluar daripada PN selepas mengambil langkah membentuk gabungan politik baru.
Samsuri berkata setakat 9 Ogos, Bersatu masih menjadi anggota PN meskipun kedudukan parti itu dipertikaikan susulan laporan beberapa ahli parlimennya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung kesahihan kepimpinan Bersatu.
“Buat masa ini saya kata hari ini, 9 Ogos, Bersatu masih lagi ahli dalam Perikatan Nasional.

“Walaupun mungkin isu keberadaan Bersatu dalam Perikatan Nasional ini agak unik sedikit oleh kerana ada laporan daripada beberapa orang ahli Parlimen Bersatu sendiri ke ROS tentang keabsahan kepimpinan jawatankuasa Bersatu.
“Jadi oleh kerana itu, kita juga ingin melihatlah sejauh mana keabsahan itu dipertikaikan oleh ROS. Buat masa ini mereka masih lagi ahli dalam PN” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen PAS Perak Ke-23 di Taiping, Perak, hari ini.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa PAS secara rasmi menganggap Bersatu bukan lagi sebahagian daripada keluarga PN.
Pendirian itu dibuat selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat parti berkenaan untuk menubuhkan pakatan politik baru.

Abdul Hadi turut menyifatkan Bersatu sebagai “terjerat sendiri” dalam percaturan politik parti itu.
Bagaimanapun, Samsuri yang juga naib presiden PAS tidak mengulas lanjut mengenai percanggahan pendirian Abdul Hadi itu. Sebaliknya, Samsuri menegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan kedudukan Bersatu perlu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan.
Fokus menang pilihan raya
Dalam pada itu, Samsuri berkata PN belum mengadakan perbincangan khusus mengenai kedudukan Bersatu.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, keutamaan gabungan berkenaan ketika ini adalah memastikan PN memenangi sebanyak mungkin kerusi pada pilihan raya akan datang, khususnya PRN Melaka.
“Saya rasa yang menjadi keutamaan nombor satu dalam Perikatan Nasional sekarang ini ialah bagaimana untuk memastikan kita memenangi kerusi sebanyak mungkin dalam pilihan raya di Melaka khususnya yang paling hampir dan tentunya di peringkat Persekutuan.
“Jadi tidak ada perkara lain lagi yang dalam agenda untuk dibincangkan selain daripada itu,” katanya.
Bersatu berhak lapor ke ROS
Ketika diminta mengulas dakwaan bahawa dirinya, selaku pengerusi PN seolah-olah menjadi ‘boneka’ Samsuri berkata dia tidak boleh menyekat hak seseorang untuk bersuara.
“Terpulang kepada mereka, saya tak boleh nak halang apa yang mereka nak cakap.
“Mereka nak kata apa sekalipun, itu adalah hak mereka,” katanya.
Samsuri juga berkata Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dan parti itu berhak membuat laporan kepada ROS serta mengambil langkah yang dianggap sesuai berhubung status Bersatu sebagai komponen PN.

“Negara kita negara yang merdeka dan ada peraturan dan ada akta yang telah diwujudkan.
“Jadi terpulang kepada merekalah ke mana yang mereka akan laksanakan, selagi mematuhi syarat dalam perundangan, dalam peraturan,” katanya.





