29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Merdeka: Dari kebangsaan ke kemanusiaan

    Shopee Sale

    Frantz Fanon, seorang pemikir dan pejuang pembebasan negara-negara terjajah, pernah mengingatkan bahawa tantangan memberi makna atau mengisi kemerdekaan itu adalah lebih mencabar daripada mendapatkan kemerdekaan politik dari penjajah itu sendiri.

    Ternyata banyak negara yang merdeka, terjerumus dalam pemerintahan kuku besi, dengan rasuah meranapkan segala sumber dan kekayaan yang ada. Hutang negara menimbun, kebergantungan memburuk dan kesejahteraan rakyat terpuruk.

    Yang dulu rasa kebangsaan menyatukan semua, tetapi di tangan perakus kuasa dan harta, rasa kebangsaan bertukar menjadi politik etnosentrik yang menunggang isu agama, bahasa dan bangsa dalam agenda kekuasaan mereka.

    Dengan kata lain, rasa kebangsaan atau nasionalisme harus dipastikan tidak hilang arah, merancu dan merapu.

    Rasa kebangsaan yang memicu gerakan antipenjajahan harus dapat dibangunkan dan dipandu dengan bijak, beretika dan berprinsip.

    Kemerdekaan yang tidak diisi dengan rasa kemanusiaan yang utuh akan membawa sikap kebangsaan atau nasionalisme menjadi kaku, lesu dan buntu.

    Itulah yang terjadi kepada banyak negara membangun. Semangat nasionalisme terikut dengan rentak permainan politik elitisme ataupun etnosentrisme. Inilah permulaan bencana.

    Elitisme kelak melahirkan sekelompok yang kaya membolot sumber dan galak autoritarianisme membasmi segala bentuk suara pembangkangan atau pembaharuan.

    Etnosentrisme bergelegak kerana sentimen dan emosi dimainkan demi mendapat sokongan kelompok yang memerintah.

    Rasa kelompokan yang mendabik hanya mereka saja yang paling berhak, terpilih dan terasli, membuat medan politik tersendat dengan politik perkauman.

    Banyak negara baru merdeka, ranap dan hancur kerana peranang saudara, rusuhan kaum, konflik agama, selain rasuah melarat dari lantikan politik dan pentadbiran.

    Sebenarnya, apa yang disebut Fanon bukanlah sesuatu yang “radikal.” Beberapa kepimpinan negara pascapenjajahan telah menyusun dan menggerakkan pelbagai cara untuk membangunkan negara-bangsa yang bersatu, demokratik, adil dan sejahtera.

    Di Malaysia, suara penegasan seperti ini dapat dilihat daripada Tun Dr Ismail Abdul Rahman (1915-73), yang pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri, sewaktu pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

    Malaysia yang adil dan demokratik

    Yang paling menonjol dari pemikiran beliau adalah terbangunnya Malaysia yang adil, majmuk dan demokratik. Beliau mencitakan Malaysia merdeka yang:

    “...seluruh rakyat negara ini ialah kerjasama seluruh kaum dengan mendapatkan pertolongan dari semua golongan demi mencapai aspirasi nasional, iaitu pada membina satu Malaysia yang bersatu, dalam mendaulatkan Bahasa Kebangsaan yang tunggal, yang mewujudkan satu kebudayaan nasional dan yang lebih penting dalam membentuk dan membina satu masyarakat adil dan makmur.”

    Tambah beliau:

    “...mengukuhkan pegangan bahawa kebudayaan Malaysia hendaklah berlandaskan kebudayaan asli rantau ini. [Namun] dengan mengakui bahawa teras kebudayaan negeri ini haruslah berunsur Melayu, kita tidak pula membelakangkan unsur-unsur dari kebudayaan lain yang disuapkan dalam kebudayaan masyarakat moden masa ini.”

    Cara pandang sejarah yang inklusif

    Membangun negara yang majmuk perlukan hikmah mengurus hubungan antara kaum. Diingatkan Tun Ismail, “pemimpin generasi saya telah berjaya mencapai kemerdekaan dan telah membina negara ini dengan kerjasama semua kaum.” 

    Beliau yakin ia boleh diteruskan oleh generasi berikutnya.

    Di awal kemerdekaan, masyarakat yang ada pertalian dengan negara asal pastinya memerlukan masa. Yang penting mereka terarah untuk dipupuk mencintai Malaysia dan menumpahkan taat setia akhirnya.

    Beliau menegaskan: “bahawa konsep negara kita ini adalah konsep multi-racial” dan polarisasi kaum jangan sampai terjadi.

    Semua bertanggungjawab mengekalkan harmoni dan stabilis. Diserukan kepada masyarakat Melayu: 

    “Pada orang-orang sendiri tidaklah ada faedahnya untuk sentiasa berpegang kepada hak Melayu sahaja dengan mengenepikan hak-hak bangsa lain di bawah keadaan negara sekarang.”

    Malah bagi Tun Ismail wajar diperkirakan semua yang menyumbang ke arah Malaysia merdeka. Bukan saja semua kaum bergandingan sama, tetapi juga mereka yang berbeza aliran politik.

    “Sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan yang moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan itu…golongan lain juga ikut dalam perjuangan ini dengan cara masing-masing pula dan seluruh tenaga ini – dari golongan yang sederhana—ikut menekankan pengaruhnya kepada kancah perjuangan itu hingga terlepaslah negara kita dari ikatan penjajah.”

    Kepimpinan mengemban tanggungjawab

    Era mengisi kemerdekaan menjadi keutamaan di kalangan barisan pemimpin. Dasar pengurusan negara, khasnya di tingkat penggubal dasar dan pentadbir harus lebih action-oriented dan bukan issue-oriented.

    Tanggungjawab pemimpin adalah memastikan kepentingan nasional, yakni untuk semua hak warga terjamin. Pemimpin bagi beliau harus ada:

    MENARIK:  Berhenti lihat kampung baru dari kaca mata penjajah semata-mata - timb menteri

    “Pelibatan diri dari segi penyertaan pelaksanaan dan peranancangan adalah diperlukan. Tetapi, sikap yang senantiasa ditekankan ialah sikap yang meliputi kepentingan semua – “National in outlook.” ….tujuan kita ialah memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dan matlamat kita ialah untuk meninggikan taraf hidup serta berusaha ke arah memenuhi hasrat-hasrat rakyat dari segi kepentingan ekonomi dan sosial serta harapan mereka untuk menjadi masyarakat maju serta moden.”

    Kepimpinan harus cekap dan cergas. Ia mesti berdisiplin. Yang diamanahkan memimpin: “hendaklah mentadbir menurut kepentingan semua golongan masyarakat dan menuju kepada perpaduan dan solidariti.”

    Akur dan anjur kemajmukan

    Malaysia terbina sebagai negara berbilang bangsa, agama dan bahasa. Hak kelompok bumiputera terjamin dalam perlembagaan sedangkan hak kaum-kaum lain juga dijamin.

    Tun Ismail berpegang teguh akan pentingnya dikekalkan Malaysia yang majmuk. Beliau menegaskan walau Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hendaklah juga bahasa Inggeris dijadikan “Bahasa Kedua”.

    Tambah beliau, di saat usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, usahlah pula ia ditafsirkan sebagai menjadikan “Malay-Malaysia.” Baginya “Malaysia yang dipunyai serta bakal diwarisi oleh semua warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.”

    Ini khasnya wajar dipikul dan dipastikan wujud oleh golongan cerdik pandai. Siapa yang mahu memimpin harus pertama menerima hakikat Malaysia yang berbilang budaya dan agama. Pada suara-suara yang gelisah kononnya kuasa Melayu akan hilang, beliau menulis sedemikian:

    “Saya berpendapat bahawa orang Melayu tidak harus bimbang dengan soal pimpinan yang mereka anggap akan diambil alih oleh bangsa lain. Untuk masa-masa yang akan datang bahkan sekarang juga saya yakin bahawa semua kaum di negeri ini menerima orang Melayu sebagai pemimpin asal sahaja pemimpin tersebut memberi Kebajikan kepada semua rakyat. Tidak timbul masalah bahawa orang-orang bukan Melayu akan mengambil-alih pimpinan kerana mereka sedar pimpinan yang popular dan berkesan, mestilah mendapat persetujuan dan sokongan daripada orang-orang Melayu.”

    Ini beliau sampaikan dalam sebuah seminar untuk kepimpinan pelajar pada 1972.

    Harapan merdeka dan jaya

    Tun Dr Ismail jelas menyebut bahawa selepas merdeka, perlu ada keberanian berdepan dengan masalah dan tantangan yang dihadapi oleh negara dan masyarakat

    Membangun negara yang merdeka memerlukan cita-cita dan peranancangan. Satu lagi adalah harapan dan keyakinan. Inilah yang terjelma dalam lafaz tokoh ini:

    “…dasar keyakinan saya terhadap negara kita, sikap saya yang lahir dari keyakinan saya bahawa rakyat kita mempunyai kekuatan rohani dan jasmani yang besar untuk memberikan kita harapan bahawa masa depan kita penuh dengan kecemerlangan; kita hanya perlu menyalurkan kekuatan rohani dan jasmani ke arah cita-cita pembangunan negara untuk menjamin masa depan yang gemilang buat kita dan keturunan kita yang akan datang.”

    Dalam bahasa Inggeris beliau menyimpulkan: “I believe that Malaysians should exploit to the utmost the inherent qualities of the various racial components which enrich the Malaysian society.”

    Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 akan diraikan pada 31 Ogos 2026, dengan cogan sambutan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati.”

    Itulah juga cita-cita negarawan seperti Tun Dr Ismail. Yang madani pastinya juga yang manusiawi, adil, makmur dan rukun. Mengingatkan kita dengan kata-kata beliau: 

    "Perpaduan bukan sesuatu yang datang secara semula jadi, ia mesti dibina dan dipupuk dengan penuh kesedaran.”

    Ini sangat bersahutan apabila Usman Awang berpidato pada 1983:

    “Tidak ada sesiapa pun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama kita hanya lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat, dan bukan daripada contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.”

    Tegas Usman, dengan memakai hati nurani yang “tidak membatasi golongan kaum, bangsa, kepercayaan dan warna kulit.” Itulah sisi madani yang harus memberkati dan mengilhami.

    Malaysia Madani. Selamat berkebangsaan dan berkesejahteraan.


    AZHAR IBRAHIM ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah