31.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 2, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tolak piket bantah Perkeso: Presiden MTUC sanggah setiausaha agung

    Shopee Sale

    Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor (gambar judul) menolak seruan setiausaha agungnya untuk mengadakan piket di seluruh negara bagi membantah skim Lindung 24 Jam Perkeso, sebaliknya menegaskan dialog perlu diutamakan.

    Kenyataannya menyusul pengumuman Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor mengenai rancangan gabungan kesatuan sekerja itu mengadakan piket di pejabat Perkeso di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dan caruman tambahan 0.75 peratus yang dikenakan terhadap pekerja.

    “Sebagai Presiden MTUC, saya menghormati hak setiap pemimpin kesatuan untuk menyuarakan pandangan dan memperjuangkan kepentingan pekerja.

    "Dalam masa yang sama, saya sendiri tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan piket pada ketika ini,” kata Halim dalam kenyataan semalam.

    Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor.

    “Piket merupakan salah satu instrumen yang sah dalam perjuangan kesatuan sekerja.

    “Namun, dalam isu Lindung 24 Jam, saya percaya pendekatan yang lebih baik adalah untuk meneruskan dialog dan membincangkan apa juga kebimbangan pekerja secara terbuka dan berasaskan fakta.”

    Dia turut kurang bersetuju dengan gambaran seolah-olah skim itu diperkenalkan tanpa proses libat urus yang mencukupi, berkata perbincangan mengenai peluasan perlindungan Perkeso kepada kemalangan di luar waktu bekerja sudah berlangsung sejak beberapa tahun lalu.

    Menurut Halim, siri libat urus berkaitan peluasan perlindungan itu diadakan di 13 lokasi di seluruh negara seawal 2018 dengan penyertaan lebih 1,400 orang, termasuk MTUC.

    Di bawah SKBBK, pekerja mencarum 0.75 peratus daripada gaji mereka bagi tempoh dua tahun pertama, dengan caruman itu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja.

    Skim yang berkuat kuasa pada 1 Jun itu menyediakan perlindungan Perkeso bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan.

    Pada mulanya, penyertaan skim itu diwajibkan tetapi kabinet mengubah dasar berkenaan pada 8 Julai susulan maklum balas orang ramai, dengan menjadikannya sukarela bagi pekerja tempatan, manakala perlindungan bagi pekerja asing kekal wajib.

    MENARIK:  Pegawai Zahid Hamidi kembali ke rahmatullah

    Halim mengakui kebimbangan mengenai kos yang perlu ditanggung pekerja, tetapi berkata caruman tidak boleh dibincangkan secara berasingan daripada perlindungan yang disediakan.

    “Namun, kita juga tidak boleh membincangkan caruman tanpa membincangkan perlindungan yang datang bersamanya,” katanya sambil mempersoalkan gesaan supaya Perkeso menghentikan kutipan caruman.

    “Apabila caruman dihentikan, perlindungan juga terhenti.

    “Kita tidak boleh meminta supaya caruman untuk sesuatu perlindungan dihentikan tetapi pada masa yang sama mengharapkan faedah terus diberikan apabila pekerja mengalami kemalangan di luar pekerjaannya.”

    Memetik laporan media sebelum ini, dia berkata sekitar 45 kes sehari direkodkan di bawah Lindung 24 Jam.

    Ketua Eksekutif Perkeso sejak April 2015, Mohammed Azman Aziz Mohammed.

    “Bagi saya, angka ini penting kerana ia menunjukkan bahawa kemalangan di luar waktu bekerja bukan risiko yang bersifat teori atau sesuatu yang jarang berlaku.

    “Ia berlaku setiap hari,” katanya.

    Halim turut menolak cubaan mengaitkan perbahasan mengenai skim itu dengan persoalan berhubung gaji dan pendapatan ketua pegawai eksekutif Perkeso.

    “Remunerasi seseorang ketua organisasi sewajarnya dinilai berdasarkan skala tanggungjawab, kompleksiti organisasi, prestasi serta tatakelola yang berkuat kuasa, dan bukan dilihat secara terasing daripada tanggungjawab yang dipikul,” katanya.

    Gaji RM90,000 ke RM120,000 sebulan

    Kamarul sebelum ini memetik persoalan yang dibangkitkan di parlimen berhubung dakwaan bahawa ketua pegawai eksekutif Perkeso, HRD Corp dan TalentCorp menerima pendapatan antara RM90,000 hingga RM120,000 sebulan.

    Halim seterusnya berkata MTUC perlu terus menangani kebimbangan pekerja melalui libat urus.

    “Jika kadar caruman perlu dibincangkan, kita bincangkan. Jika pelaksanaan boleh diperbaiki, kita perbaiki. Jika ada kebimbangan pekerja yang belum dijawab, kita dengar dan cari penyelesaiannya.

    “Tetapi janganlah dalam usaha mempertikaikan caruman, kita akhirnya menjejaskan perlindungan yang pekerja sendiri perlukan,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah