ULASAN | Kotor. Begitulah penilaian Bersih buat Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani. Grednya pula hanya D. Kalau dalam skala penggredan peperiksaan ia menghampiri gagal. Suatu nilai yang cukup mengecewakan.
Sebagai sebuah pertubuhan masyarakat sivil yang memperjuangkan isu-isu demokratisasi di Malaysia, Bersih tentu sahaja wajar untuk memberi penilaian, kritikan dan cadangan penambahbaikan buat Anwar dan kerajaan Madani yang dipimpinnya. Fungsi sebagai kumpulan pendesak seperti Bersih sememangnya cenderung kritis. Ia tentunya wajar sahaja.
Namun, apakah penilaian daripada Bersih tersebut adil dan terhasil daripada aspirasi sebahagian besar masyarakat awam Malaysia? Ia sesuatu yang boleh dimusykilkan.
Hanya penilaian elit masyarakat sivil
Bersih membuat dakwaan bahawa penilaian tersebut adalah daripada “rakyat Malaysia”. Pada muka depan dokumen PDF laporan penilaian tersebut tertera ayat “LEMBAGA PEPERIKSAAN RAKYAT MALAYSIA” yang aksaranya ditebalkan dan digaris-bawahkan. Kononnya, penilaian tersebut diberikan oleh “rakyat”.
Nampaknya retorik “rakyat” bukan hanya dikumandangkan oleh ahli politik, tetapi Bersih juga turut mempergunakannya. Apakah benar “rakyat” yang membuat penilaian tersebut atau pun ia hanyalah merupakan pandangan dan rumusan yang dibuat oleh beberapa kerat elit masyarakat sivil dari kecenderungan ideologi politik tertentu yang kemudiannya digredkan sebagai D?
Kalau ia hanya merupakan suatu penilaian yang dibuat oleh elit-elit masyarakat sivil dari kecenderungan ideologi politik tertentu, jangan diretorikkan sebagai “LEMBAGA PEPERIKSAAN RAKYAT MALAYSIA”. Ia bukan hanya mengelirukan tetapi juga cubaan untuk memanipulasi sentimen masyarakat seolah-olah gred D yang diberikan itu kononnya datang daripada rakyat.

Laporan penilaian Bersih tersebut juga menggunakan kaedah penilaian yang kurang mempertimbangkan konteks. Ia hanya menampilkan isi (content) tanpa mengambil kira konteks menyeluruh politik semasa negara yang bukan sahaja rumit tetapi juga belum pernah berlaku sebelum ini.
Isi tanpa konteks adalah mengelirukan. Ia suatu penilaian yang sendeng. Malahan berkemungkinan merbahaya kerana ia memberi persepsi yang tidak tepat kepada khalayak yang menggunakannya. Kerana itu wajar sahaja ia dipermasalahkan.
Menurut laporan Bersih, kaedah penilaian hanya dibuat berdasarkan kepada janji manifesto pilihan raya yang diajukan oleh parti-parti yang berada di dalam kerajaan Madani sekarang pada PRU-15 dan juga “agenda reformasi” yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan khususnya sejak lebih daripada dua dekad yang lepas sebelum mereka menempati kerusi kuasa di Putrajaya.
Perbandingan pencapaian Anwar dan kerajaan Madani dengan perdana menteri daripada kerajaan-kerajaan sebelumnya turut mendasari kaedah laporan penilaian Bersih tersebut.
Namun kaedah penilaian yang dilakukan oleh elit-elit masyarakat sivil yang dipimpin oleh Bersih itu tidak mempertimbangkan konteks politik yang telah pun berubah yang tentunya memerlukan kompromi yang sukar dan pengurusan perbezaan yang lebih lunak, berhati-hati dan bertahap untuk memastikan kestabilan yang berpanjangan.
Melakukan reformasi yang dituntut oleh Bersih secara drastik dan tergesa-gesa bukan hanya boleh mendorong kepada ketidakstabilan tetapi juga berpotensi meruntuhkan kerajaan Madani yang sedia ada.
Tidak berkongsi agenda reformasi
Sayugia diingatkan, bentuk kerajaan yang dipimpin oleh Anwar dan Pakatan Harapan pada hari ini tidak pernah wujud sebelum ini. Ini adalah pertama kali dalam sejarah politik Malaysia parti-parti yang bukan sahaja berseberangan ideologi tetapi juga bermusuhan selama berdekad-dekad, duduk di dalam satu kerajaan yang sama.
Umno yang menjadi musuh kepada Pakatan Harapan selama lebih daripada dua dekad, kini berkongsi kuasa. DAP yang merupakan sebuah parti yang menjadi sasaran serangan oleh Umno selama lebih daripada separuh abad kini perlu duduk semeja berkongsi kuasa dengan musuh tradisinya itu.
Dalam konteks perubahan politik Malaysia yang sebegitu rupa adalah mustahil untuk sebuah kerajaan yang baru sahaja dibentuk selama dua tahun untuk menunaikan sebahagian besar daripada janji manifesto dan “agenda reformasi” yang diperjuangkan selama ini tanpa menggoncangkan kestabilan kerajaan Madani itu sendiri.
Hakikatnya, Anwar tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membolehkan Pakatan Harapan yang dipimpin beliau menubuhkan kerajaan sendiri. Lantaran itu, beliau tentunya perlu kompromi dan mengambil kira pandangan daripada semua parti-parti yang membentuk kerajaan Madani yang berkemungkinan besar tidak semuanya berkongsi “agenda reformasi” yang sama antara satu sama lain.
Risiko sabotaj birokrat
Sebahagian daripada perkara yang dituntut oleh Bersih untuk direformasikan melibatkan perkhidmatan awam negara yang tentunya pula memerlukan kerjasama daripada birokrat-birokrat penjawat awam. Tanpa kerjasama daripada birokrat penjawat awam reformasi yang ingin dilaksanakan cenderung terbengkalai.
Perkhidmatan awam adalah enjin yang senantiasa berputar untuk memastikan dasar-dasar negara dilaksanakan. Sebagai pelaksana, sektor perkhidmatan awam menempati kedudukan kuasa yang tidak boleh dipandang enteng.

Namun, perkhidmatan awam di Malaysia sudah pun membentuk ekologi pengurusan dan pentadbiran dengan budayanya yang khusus. Lebih daripada separuh abad beroperasi dengan budayanya yang khusus itu menjadikan perkhidmatan awam Malaysia antara sektor yang paling sukar untuk dilenturkan tanpa menggoncangkan putaran enjinnya.
Malahan jika tersilap langkah, tergesa-gesa, terlalu keras tanpa kelunakan yang strategik, Anwar dan kerajaan Madani berkemungkinan akan berhadapan dengan sabotaj-sabotaj dalaman. Sudah menjadi rahsia umum bahawa sebahagian daripada birokrat perkhidmatan awam Malaysia berkecenderungan pembangkang berbanding kerajaan.
Dalam konteks seperti ini, kerajaan Madani yang hanya berusia dua tahun perlu berhadapan bukan sahaja dengan sosok-sosok birokrat perkhidmatan awam yang bermasalah tetapi juga suatu budaya khusus yang sudah pun tersulam kukuh selama lebih daripada separuh abad untuk direformasikan.
Justeru, risiko sabotaj yang boleh melemahkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang akan memberi persepsi buruk serta negatif terhadap Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani tidak boleh diketepikan.
Dalam menghadapi situasi rumit sebegini, pendekatan yang berbentuk bertahap, berhati-hati dan halus adalah lebih strategik untuk digunakan berbanding tergesa-gesa, memaksa dan segera sepertimana yang diajukan oleh Bersih. Mengubah budaya yang sudah terbentuk lebih daripada separuh abad tidak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh dua tahun!
Antara kebebasan awam dan ketertiban sosial
Bersih juga kurang mempertimbangkan konteks lanskap sosial yang sudah berubah dengan begitu drastik sekali akibat daripada perkembangan teknologi maklumat dan media sosial. Bentuk maklumat di zaman sekarang bukan lagi seperti di zaman reformasi 1998 suku abad yang lalu.
Akses kepada pelbagai bentuk maklumat dari beribu jenis aplikasi dan platform media sosial kini berada di hujung jari bukan hanya orang dewasa tetapi juga remaja serta kanak-kanak.
Masyarakat sekarang lebih terdedah tanpa batas kepada maklumat, imej, audio dan video yang sebahagiannya cenderung menyebarkan kebencian antara etnik, agama dan juga antara negeri serta wilayah (misalnya Semenanjung vs Sabah/Sarawak).
Begitu juga dengan aktiviti jenayah seperti penipuan, penyelewengan atas talian, scamming, pedofilia dan pengantunan seksual kanak-kanak yang kini telah pun menjadi barah tentunya memerlukan kawalan serta pembatasan yang munasabah bukan kebebasan dan keterbukaan yang berpotensi pula mengoyak fabrik sosial masyarakat Malaysia.

Memahami konteks dan cabaran getir yang dihadapi oleh masyarakat dewasa ini memerlukan suatu bentuk keseimbangan antara kebebasan awam dan ketertiban sosial. Kebebasan awam bukanlah ubat penyembuh segala penyakit sosial masyarakat. Manakala demokrasi pula bukanlah satu-satunya jalan yang boleh membawa kepada keadilah khususnya dalam kerangka praktik demokrasi liberal.
Malahan kalau diteliti pengalaman-pengalaman demokrasi dan pilihan raya di Eropah di zaman teknologi maklumat dan media sosial sekarang ini, ia cenderung mengukuhkan politik identiti dan meramaikan lagi gerombolan pelampau kanan yang xenofobia, anti-migran, anti-pendatang asing, anti-berlainan etnik, nasionalisme ekstrim, rasisme dan islamofobia.
Rusuhan dan keganasan yang berlaku di United Kingdom tiga bulan yang lepas membuktikan bahawa demokrasi dan kebebasan awam di zaman pasca-kebenaran yang dipicu oleh teknologi maklumat, algoritma, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) berupaya mengoyak fabrik sosial masyarakat jika ia tidak dikawal dan dibatasi.
Demokratisasi yang dituntut oleh Bersih tentunya ada bahagian-bahagiannya yang munasabah untuk dilaksanakan. Namun dalam konteks dunia pasca-kebenaran pada hari ini, proses dan tujuan demokratisasi memerlukan keseimbangan antara kebebasan awam dan ketertiban sosial.
Di kala risiko-risiko sosial yang berpotensi mengoyak fabrik masyarakat Malaysia yang majmuk dan rencam hadir serta mengancam, maka ketertiban sosial perlu mengatasi kebebasan awam.
Kesemua ini adalah antara konteks yang tidak dipertimbangkan oleh Bersih tatkala memberikan gred D kepada kerajaan Madani dan meletakkan Anwar Ibrahim di belakang Mahathir dan Ismail Sabri dalam perbandingan pencapaian masing-masing.
Suatu penilaian yang sendeng. Suatu penilaian yang dibuat menggunakan kayu ukur ideologi liberal tanpa mengambil kira konteks terkini Malaysia dan dunia yang sudah pun mengalami perubahan yang cukup merumitkan.
Demokratisasi tanpa konteks adalah sebuah falasi.





