Yang di-Pertuan Agong hari ini memperkenankan pelantikan Abdul Halim Aman sebagai ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu berkuat kuasa pada 13 Mei ini.
Menurut Shamsul Azri cadangan pelantikan pegawai tertinggi agensi antirasuah negara itu dipersembahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semalam.
“Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Dato’ Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei.
“Kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta intrgriti yang tinggi, beliau akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya.
Untuk rekod, penyandang jawatan tertinggi SPRM kini ialah Azam Baki yang dilantik ke situ pada 2020. Kontraknya di agensi berkenaan akan tamat pada 12 Mei ini.
Sebelum ini kontraknya sudah disambung sebanyak tiga kali dengan setiap satu selama tempoh setahun.
[Laporan lanjut menyusul]





