28.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Khilaf-mengkhilaf bawa bahagia

    Shopee Sale

    ULASAN | Pada asasnya politik bertujuan untuk bergulat di atas dasar undang-undang untuk berkuasa, lalu digunakan kuasa itu – sepatutnya – untuk melakukan hal-hal yang lebih baik.

    Ya, sudah tentu tujuannya lebih luas bergantung juga kepada kehendak, manifestasi, tuntutan dan mungkin juga pengaruh peribadi.

    Atas tuntutan amalan demokrasi di negara kita, proses berpolitik itu berlangsung dengan kaedah-kaedah yang ditentukan, sudah tentulah pilihan raya.

    Sebab itu orang yang berpolitik mahu menang, kerana dengan menang dia memiliki titik awal untuk menjayakan tujuan politik yang rencam itu.

    Baik, mari kita ke Negeri Sembilan yang kini rancak dengan kempen pilihan raya negeri (PRN) sebelum proses pengundian berlangsung pada 1 Ogos nanti.

    Negeri Sembilan atau juga disebut sebagai Nogori bakal ditentukan sama ada pentadbiran PH berjaya bertahan atau sebaliknya dirampas oleh pakatan BN-PN.

    Mana-mana pihak yang menang nanti akan memberikan cetusan yang bermakna kepada gelombang pengaruh parti masing-masing.

    PH perlu menang untuk memastikan bukan sahaja mereka terus menerajui kerajaan negeri, bahkan boleh menjadi benteng kepada kejatuhan di peringkat persekutuan.

    Ada pelbagai dalil

    Bayangkan jika PH kalah pada 1 Ogos nanti, ia memberi isyarat kedua selepas kekalahan di Johor baru-baru ini dan mungkin merebak pula ke Melaka.

    Impaknya, penolakan rakyat yang lebih terserlah jika PH tewas di negeri yang sudah dua penggal dikuasai mereka.

    Penolakan sedemikian boleh dijadikan alasan kritikal kepada musuh untuk lebih mempengaruhi rakyat sekali gus menghalalkan sebarang tindakan untuk menjatuhkan pentadbiran Madani di Putrajaya.

    Dalam konteks ini, seberapa banyak pun kerja baik dipersembahkan kerajaan Madani, semuanya tidak memberi makna signifikan sekiranya PH tewas.

    Walaupun sesetengah pemimpin BN tampil memberi jaminan bahawa mereka akan pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hinggal tamat penggal, jaminan politik sukar dipegang dan boleh dimungkiri dengan pelbagai ‘dalil’.

    Sebab itu PH perlu bertahan sekali gus menang dalam pertarungan kali ini. Lebih istimewa jika kemenangan padu dicapai, mereka tidak perlu bergabung dengan BN lagi dalam membentuk kerajaan negeri.

    MENARIK:  3 Adun dilantik exco baru Perlis

    Pengundi yang akan menentukan berdasarkan cerdik pandai pertimbangan mereka – dengan sentimen apa pun yang berlegar dan dijadikan pedoman oleh rakyat – jumlah di peti undi jua yang mengakhiri nasib barisan calon yang bertanding.

    Di pihak BN dan PN yang kini membentuk kerjasama, mereka juga memburu kemenangan untuk memastikan sejauh mana hubungan kedua-dua gabungan itu memberi hasil positif dan magis tersendiri.

    Sudah menjadi rahsia umum bahawa BN dan PN pada akhir matlamatnya bukan sahaja mahu menguasai Negeri Sembilan, bahkan mahu merampas Putrajaya yang sentiasa menggiurkan itu.

    Justeru mereka juga perlu menang pertarungan ini kerana kesannya dijangka menular. Dari Negeri Sembilan ia boleh merebak ke Melaka, kemudian Perlis dan negeri-negeri lain juga.

    Beralaskan agenda penyatuan ummah, Umno dan PAS yang menjadi tulang belakang kerjasama itu nampaknya tidak menoleh ke belakang lagi.

    Selepas beberapa kali kerjasama yang berkecai sebelum ini, khilaf-khilaf yang berlaku kini menyatukan mereka.

    Di pentas-pentas ceramah dan program kempen, BN-PN sedang berusaha untuk menafikan keberadaan PH sebagai penyandang kerajaan negeri Darul Khusus.

    Jika mereka menang, tidak mustahillah pelbagai usaha berterusan boleh digarap termasuk menurunkan Anwar Ibrahim dari kerusi perdana menteri.

    Apa guna kerja buat dan perjuangan yang berhabis wang ringgit sekiranya hasrat sedemikian tidak dilunaskan. Mungkin mereka boleh lakukan banyak hal yang jauh lebih baik.

    Bahkan boleh tampilkan barisan pimpinan yang lebih berwibawa termasuk ramai calon perdana menteri terutamanya daripada PAS yang lebih disegani kawan dan lawan.

    Maka, pada 1 Ogos ini pengundi di Negeri Sembilan akan memilih sebab-sebab mana yang diperlukan sama ada PH atau BN-PN yang perlu menang.

    Atau, mungkin juga rakyat Nogori akan membuat pilihan ketiga iaitu Bersatu – yang sengaja tidak ditonjolkan dalam tulisan ini.


    N FAIZAL GHAZALI merupakan wartawan Malaysiakini yang istiqomah menanti perdana menteri dari PAS.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah