31.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 15, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Kejohanan hoki dunia yang ‘dilupakan’

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Mungkin ramai tidak sedar mulai hari ini berlangungnya Kejohanan Hoki Piala Dunia dengan Belanda dan Belgium menjadi tuan rumah bersama untuk edisi ke-16.

    Sebanyak 16 negara yang layak – termasuk Malaysia.

    Penulis sendiri terlupa sehingga diberitahu oleh seorang jurulatih hoki dan juga kawan lama, tempoh hari.

    Ringkasnya, beginilah situasi yang dialami oleh sukan yang pernah menjadi antara paling popular di negara kita selepas bola sepak dan badminton satu ketika dulu.

    Ke manakah hilangnya aura permainan ini yang pernah menjadi ikutan ramai?

    Lebih perit, difahamkan tiada siaran langsung membabitkan perlawanan skuad negara di RTM atau pun Astro.

    Ini bererti jika peminat tegar kita mahu mengikuti perkembangan skuad hoki negara, mereka perlu mencari maklumat sendiri atau menontonnya menerusi platform lain.

    Memang menyedihkan, tetapi itulah realitinya pada hari ini.

    Ini tidak bermakna pihak penyiar sudah hilang kepercayaan ke atas hoki Malaysia. Ia membabitkan beberapa sebab, termasuk soal kos dan pulangan secara komersial.

    Luar kelompok lapan terbaik

    Malaysia membuka tirai perlawanan menentang juara tiga kali, Jerman, pada hari ini diikuti pertemuan menentang Perancis (17 Ogos) sebelum melengkapkan jadual perlawanan Kumpulan B menentang tuan rumah, Belgium (19 Ogos).

    Ia bukan tugasan mudah. Kemajuan positif tidak akan berlaku dalam satu hari, sebulan, setahun atau pun sedekad.

    Kita kena tanya di manakah kesilapannya. Bagi pemerhati dan pengkritik yang sudah mengetahui hoki negara secara lebih mendalam, mungkin persoalan mengenai sistem dan struktur akan dibangkitkan.

    Tapi, berapa kali persoalan sama diajukan, dan sebesar mana perubahan berlaku? Macam mana pula dengan program pembangunan? Jika ada, kenapa kita masih ketandusan pemain berbakat secara tekal? Apa yang tidak kena di sini?

    Dengan ranking dunia yang makin menurun, kita hadir di pentas Piala Dunia kali ini dengan misi cukup perit.

    Apa yang lebih menghairankan, sasaran diletakkan oleh pengurusan skuad negara ialah untuk layak ke suku akhir.

    Kalau mengikut prestasi semasa, kita kini berada di luar kelompok lapan teratas dunia. Jadi, jika layak, itu satu kejutan besar.

    Sebagai peminat juga perlu gembira dengan sifat berani skuad kebangsaan. Kita harus menyokong skuad negara dengan kemahuan besar itu. Mana tahu mimpi itu menjadi realiti kelak.

    Penulis berpendapat adalah tidak wajar kerap memperkecilkan kemampuan skuad negara. Ada harinya pemain negara kita boleh membuat kejutan andai dipandang remeh pihak lawan.

    Umpamanya, pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney, skuad negara merakamkan keputusan memeranjatkan mengikat Belanda 0-0. Skuad lawan ketika itu muncul pemenang pingat emas, manakala kita di tempat ke-11.

    MENARIK:  DLP: Page puji P Pinang, bidas Fahdlina tak tarik balik pekeliling

    Dalam saingan Kumpulan A yang membabitkan enam pasukan itu, kita juga seri 2-2 menentang Pakistan, Britain dan Kanada. Selain itu kita tewas tipis, 0-1 kepada Jerman.

    Kebetulan, pentas 26 tahun lalu itu jugalah kali terakhir kita layak ke Sukan Olimpik.

    Cuma, penulis mahu menyebut, skuad pada tahun berkenaan yang diketuai oleh Mirnawan Nawawi nampak jauh lebih stabil dan kuat berbanding barisan pada hari ini.

    Gambaran lebih jelas

    Pemain tonggak lain yang membentuk skuad negara ketika itu termasuk Nor Saiful Zaini, Maninderjit Singh, S Kuhan, Calvin Fernandez, Keevan Raj dan mendiang Chua Boon Huat.

    Perwatakan itu nampak kurang sedikit pada skuad Piala Dunia 2026.

    Kita masih banyak bergantung kepada beberapa pemain senior. Umpamanya, kapten pasukan, Marhan Jalil, 36, yang sudah membuat empat penampilan dalam kejohanan elit ini.

    Begitu juga penyerang, Faisal Saari, 35, dan Norsyafiq Sumantri yang akan membuat penampilan kali ketiga. Kebanyakan pemain lain adalah daripada skuad Piala Dunia Remaja 2023 dan 2025.

    Satu persembahan terpuji di Belanda-Belgium nanti pasti memberikan suntikan moral untuk anak didik Brendon Carolan mengalihkan fokus kepasa cabaran di Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

    Pentas ini penting untuk memburu tiket automatik ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

    Skuad hoki kebangsaan kali ini

    Pencapaian terbaik Malaysia dalam kempen Piala Dunia kekal tempat keempat pada 1975 dan kelapan pada 2002, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

    Edisi di Belanda-Belgium ini juga akan memberikan gambaran lebih jelas sejauh mana kemerosotan barisan negara sehingga menghuni tangga ke-14 dalam ranking dunia pada hari ini.

    Ia juga akan turut mendedahkan mengenai kemampuan generasi pemain baru untuk mengisi tempat digalas kelompok senior yang sudah lama menabur bakti.

    Sehingga sekarang, kita belum melihat proses ‘pertukaran baton’ itu secara mantap atau pun meyakinkan.

    Ayuh Speedy Tigers. Tunjuk belang anda dan pulang membawa keputusan membanggakan buat rakyat Malaysia sebagai sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.


    V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah