29.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Kartel pekerja asing terus kebal, hanya berevolusi

    Shopee Sale

    ULASAN | Setiap kali skandal pekerja asing heboh di Malaysia, kita sering dihidangkan dengan kitaran respons yang sudah boleh diramal.

    Pengusaha industri akan merintih tentang kelangsungan perniagaan, kementerian akan menjanjikan reformasi dasar, manakala agensi penguatkuasa akan melancarkan serbuan mega, lengkap dengan kilauan lampu kamera media.

    Kita digesa untuk percaya bahawa sistem sedang dibersihkan.

    Namun, pendedahan terbaru mengenai manipulasi berskala besar dalam sistem kuota gantian pekerja asing di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meruntuhkan naratif tersebut.

    Walaupun, sudah lebih 10 hari artikel tersebut dilaporkan masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Jabatan Imigresen.

    Setakat ulasan ini ditulis, sumber dalaman imigresen memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai yang didakwa terlibat skandal itu telah dipanggil untuk siasatan dalaman dan dipindah ke unit baru.

    Namun, ejen-ejen yang terlibat masih tidak dipanggil untuk sebarang siasatan.

    Ia membuktikan satu hakikat yang amat pahit iaitu: Kerajaan tidak pernah benar-benar menyelesaikan masalah. Apa yang berlaku selama ini hanyalah evolusi modus operanandi.

    Manakala, dalang-dalang di sebalik tabir terus mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan imuniti yang amat mencurigakan.

    Sebagai wartawan yang meneliti dokumen dan pangkalan data rantaian gelap ini, penemuan kali ini bukan lagi sekadar kisah ejen jalanan atau pegawai gred bawahan yang gelap mata.

    Ini adalah kisah tentang keruntuhan integriti sistemik di peringkat tertinggi di mana data digital milik agensi keselamatan negara boleh dipadam, diubah, dicuri, dan dicipta sesuka hati demi menghalalkan yang haram.

    Manipulasi Sistem JIM

    Asas kepada penyelewengan ini terletak pada manipulasi Sistem Imigresen Malaysia (MYIMMS) dan dokumen fizikal yang dikeluarkan oleh Bahagian Pekerja Asing.

    Apabila sistem induk dan dokumen rasmi tidak lagi seiring, di situlah kartel membina empayar mereka.

    Mari kita lihat data yang tidak masuk akal ini melalui kacamata logik, dengan mengambil contoh kes sebuah restoran.

    Dokumen menunjukkan restoran ini mendapat kelulusan kuota baru untuk 50 pekerja pada 22 Mac 2023 dan 30 pekerja baru pada 24 Mac 2023.

    Bagaimana restoran ini dapat 80 pekerja baru dalam masa dua hari dalam dua kelulusan berbeza? Siapa bantu mereka? Ini antara soalan yang perlu disiasat.

    Apa yang lebih mengejutkan adalah pada 24 April 2026, sistem JIM meluluskan bayaran levi untuk 88 orang pekerja gantian pada hari yang sama melalui dua resit berbeza.

    Mengikut dasar ketat JIM, Memo Periksa Keluar (COM) yang dipertimbangkan untuk pekerja gantian adalah tahun 2016 dan ke atas sahaja.

    COM yang dikemukakan mestilah selepas tarikh kelulusan terakhir yang diperolehi majikan dan ia hanya layak dipertimbangkan sekiranya pekerja asal telah pulang ke negara asal dengan COM yang sah selepas tahun 2023.

    Dalam kata mudah, katakanlah sebuah restoran menerima kuota baru pekerja asing pada 2016 dan 2020, dan kesemua pekerja asing yang datang di bawah kelulusan tahun 2016 telah pulang ke negara asal. Maka, restoran itu tidak layak untuk kuota gantian kerana kuota yang terima pada 2016 tidak boleh diguna pakai untuk kuota gantian kerana ada kuota baru pada 2020.

    Jadi, dalam kes restoran itu, bagaimana 80 kuota asal boleh melahirkan 88 kuota gantian? Bagaimana boleh ada lebihan lapan orang? Matematik jenis apa yang digunakan oleh sistem imigresen dalam meluluskan permohonan ini?

    Lebih mengejutkan, di bawah entiti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berbeza tetapi menggunakan nama rangkaian restoran yang sama, premis tersebut dikesan menerima lagi 36 pekerja gantian pada Mac 2026.

    Ini bukan lagi satu ketirisan. Ini adalah bukti bahawa had siling kuota yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanyalah sekadar perhiasan di atas kertas.

    Jenayah memadam data dan kecurian kuota 'ghaib'

    Jika kes had siling dianggap sebagai pelanggaran peraturan, kes melibatkan satu lagi restoran pula adalah satu jenayah manipulasi maklumat yang sangat membimbangkan.

    Dalam proses semakan silang yang dilakukan, restoran ini dengan mudah memperoleh 50 kuota gantian baru pada 30 April 2026.

    Semakan lanjut membongkar bahawa sekurang-kurangnya 30 daripada 50 kuota tersebut sebenarnya adalah hak milik tiga buah restoran lain.

    Dalam istilah yang lebih mudah kuota milik restoran lain telah dipindahkan ke dalam akaun restoran ini melalui bantuan orang dalam.

    Maklumat transaksi dan perpindahan ini langsung tidak wujud dalam pangkalan data induk JIM.

    Adakah ini menunjukkan negara sedang berhadapan dengan satu ekosistem di mana pegawai yang korup mempunyai kuasa mutlak untuk memadam jejak digital, mengubah identiti majikan, dan memindahkan hak milik tenaga kerja asing tanpa boleh dikesan oleh sistem audit dalaman?

    Kelulusan era 'caretaker' PRU15 sistem bocor

    Pendedahan ini turut mengesahkan bahawa rangkaian sindiket ini tidak tercipta dalam sekelip mata. Mereka adalah pemain lama yang sangat mahir membaca kelemahan pentadbiran negara, termasuk mengeksploitasi fasa ketidakstabilan politik.

    Sebagai contoh, seorang pemain industri restoran yang sangat berpengaruh yang memiliki lebih 20 restoran di sekitar Lembah Klang menerima kuota pekerja baru dan gantian dengan sangat mudah.

    Carian di sistem Imigresen menunjukkan dia mendapat lebih 300 kuota baru sejak 2023. Dan hampir 120 kuota gantian pada tahun 2026.

    Yang pelik, dia menerima dua kelulusan kuota gantian pada hari yang sama dalam masa kurang lima minit. Maksudnya, jurang masa kelulusan bagi permohonan pertama dan kedua adalah kurang lima minit sahaja.

    Bagi sesiapa yang arif dengan proses kuota gantian, sudah boleh agak dua kelulusan dalam masa lima minit adalah tak masuk akal.

    MENARIK:  Menteri: Kajian isu sijil halal sedia dibentang di kabinet Rabu ini

    Siasatan Malaysiakini juga mendapati sebuah syarikat restoran yang mempunyai 10 cawangan di seluruh negara telah diberikan kelulusan luar biasa sebanyak 450 kuota baru pada 4 November 2022.

    Tarikh kelulusan ini adalah ketika kemuncak kehangatan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), di mana negara sedang ditadbir oleh kerajaan sementara.

    Sindiket tahu bahawa apabila perhatian pengarah, menteri, dan masyarakat teralih kepada kotak undi, itulah waktu terbaik untuk memecah masuk pangkalan data.

    Mungkin, restoran itu akan mempertahankan pengambilan 450 pekerja asing kononnya 45 pekerja untuk satu restoran. Tapi, yang mengejutkan adalah carian Malaysiakini mengenai maklumat mengenai kelulusan 450 kuota yang terdapat dalam sistem JIM pada 19 Julai.

    Namun, maklumat tersebut telah hilang ketika diperiksa semula pada 22 Julai dalam sistem yang sama. Bagaimana ia berlaku?

    Restoran yang sama kemudiannya menerima pula 118 kuota gantian pada Mac 2026 satu jumlah yang langsung tidak masuk akal bagi kapasiti perniagaan mereka.

    Bukan itu sahaja, sindiket ini turut memanfaatkan kelemahan teknikal yang sengaja dibiarkan terbuka.

    Sebagai contoh, terdapat kes pada tahun 2020 di mana sebuah restoran gagal membayar levi.

    Mengikut undang-undang, kuota tersebut sepatutnya terbatal secara automatik dalam tempoh 30 hari selepas kuota diluluskan.

    Namun, sistem JIM dikesan sengaja membiarkan akaun tersebut kekal aktif dan 'tergantung' selama bertahun-tahun bagi membolehkan majikan membuat bayaran levi kemudian hari.

    Kelemahan seperti ini tidak akan wujud tanpa rekaan kod atau kelonggaran sengaja oleh mereka yang mengawal bilik server agensi tersebut.

    Konflik kepentingan rantaian industri

    Kita juga tidak boleh menutup mata terhadap penglibatan pemain industri.

    Maklumat bahawa ejen-ejen utama yang menggerakkan “jalan belakang” ini didakwa datang daripada persatuan restoran terkemuka yang ironinya bertindak sebagai salah satu pihak berkepentingan dalam merangka polisi di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menunjukkan wujudnya satu konflik kepentingan.

    Apabila pihak yang diberi mandat oleh kerajaan untuk membantu merangka dasar buruh negara adalah pihak yang sama memegang kunci pasaran gelap kuota imigresen, maka seluruh rantaian tersebut telah rosak dari atas hingga ke bawah.

    Setiap kelulusan haram ini dikatakan mempunyai tanda harga yang sistematik, iaitu sekitar RM2,000 bagi setiap pekerja gantian.

    Memang benar, kita boleh bersimpati dengan pengusaha restoran kecil yang terpaksa menjadi mangsa keadaan.

    Saluran rasmi kerajaan sentiasa buntu, penuh dengan birokrasi, dan permohonan mereka dilengah-lengahkan tanpa alasan sehingga perniagaan mereka lumpuh akibat kekurangan pekerja.

    Namun, memilih untuk menyuburkan ekosistem rasuah demi kelangsungan perniagaan bukanlah jalan penyelesaian.

    Ia hanya menjadikan para pengusaha sebagai mangsa peras ugut berterusan oleh kartel birokrasi yang sengaja mencipta kesukaran di kaunter rasmi demi melariskan jualan di pintu belakang.

    Tembok kebal AGC?

    Persoalan paling kritikal dalam skandal ini tidak seharusnya ditujukan kepada Jabatan Imigresen semata-mata.

    Soalan ini wajib dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Mengapa kitaran jenayah ini langsung tiada noktahnya?

    Sebelum isu kuota gantian ini meletup, Malaysiakini melaporkan siri sindiket berskala besar melibatkan sindiket Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang kemudian membawa kepada penahanan pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pegawai imigresen ditangkap, digari, dan dipaparkan di dada akhbar. Namun, apa kesudahannya?

    Sumber dalaman mendedahkan sehingga kini, tiada sebarang pertuduhan rasmi dikemukakan oleh AGC di mahkamah berhubung kes penyelewengan RTK terdahulu.

    Malah, AGC memilih untuk membisu dan enggan memberikan sebarang maklum balas atau melayan pertanyaan Malaysiakini berhubung status siasatan yang tergantung itu.

    Ketiadaan tindakan perundangan yang tegas dan telus ini membawa impak yang sangat merosakkan.

    Apabila pegawai-pegawai imigresen yang pernah ditahan SPRM dalam kes RTK didakwa masih bebas bertugas di JIM tanpa tindakan tatatertib atau penggantungan kerja, kita sebenarnya sedang menghantar isyarat yang salah.

    Kita memberitahu sindiket bahawa rasuah pengurusan pekerja asing di Malaysia adalah perniagaan yang sangat berbaloi dengan risiko yang amat rendah.

    Akibatnya, apabila pegawai berasuah merasa mereka dilindungi oleh tembok kebal birokrasi dan kelewatan proses perundangan, mereka tidak akan berhenti.

    Mereka hanya akan berehat seketika, menukar cawangan, dan melahirkan modus operanandi baru seperti sindiket kuota gantian ini.

    Kitaran sistemetik ini terbukti apabila baru-baru ini, SPRM sekali lagi terpaksa menggempur sindiket RTK di Negeri Sembilan yang turut mengheret pegawai bertaraf Pengarah di Putrajaya.

    Agensi yang sama, jenayah yang sama, hanya tahun dan lokasi sahaja yang berbeza.

    Reformasi struktur atau terus menjadi Pak Turut?

    JIM dan AGC tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik kenyataan klise seperti "siasatan dalaman sedang dijalankan" atau "sistem sedang dinaik taraf".

    Masalah di JIM bukan masalah kelemahan perisian komputer; ia adalah masalah keruntuhan moral dan integriti manusia yang mengendalikannya.

    Mengapa dan bagaimana profil syarikat boleh disekat daripada akses awam demi menyembunyikan data kecurian kuota?

    Mengapa had siling kelulusan boleh dilanggar berkali-kali tanpa mencetuskan sistem amaran pangkalan data?

    Dan yang paling utama, mengapa Pejabat Peguam Negara masih gagal mengheret pegawai-pegawai ini ke mahkamah?

    Selagi tiada tindakan drastik diambil untuk membersihkan sistem daripada tangan-tangan ghaib ini, dan selagi jerung-jerung besar dalam birokrasi kekal kebal daripada tindakan undang-undang, selagi itulah pangkalan data negara akan terus menjadi taman permainan sindiket.

    Malaysia tidak boleh terus membiarkan maruah undang-undangnya ditertawakan oleh kartel yang tahu bahawa di negara ini, segala-galanya termasuk data rasmi kerajaan boleh dibeli dengan wang ringgit.


    B NANTHA KUMAR merupakan wartawan Malaysiakini.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah