Sejak dua minggu lalu, isu berkaitan Biara Gua Dhamma Sakyamuni (Dhamma Sakyamuni) di Gunung Kanthan kembali mendapat perhatian menerusi laporan media dan hantaran di media sosial.
Kami memahami bahawa perkara yang melibatkan agama, warisan dan alam sekitar boleh menimbulkan pelbagai pandangan dan reaksi dalam kalangan masyarakat.
Justeru, adalah penting supaya perbincangan mengenai perkara ini dibuat berlandaskan fakta dan sejarah yang menyeluruh, agar masyarakat mendapat gambaran yang lengkap dan tidak dipengaruhi oleh maklumat yang kurang tepat atau mengelirukan.
Kanthan: Enam dekad menyumbang kepada pembangunan negara
Enam puluh tiga tahun lalu, Gunung Kanthan telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada 45 gugusan bukit batu kapur di Lembah Kinta yang sesuai bagi tujuan pengeluaran simen. Manakala, bukit-bukit batu kapur yang lain pula dizonkan bagi kegunaan pelbagai, termasuk rumah ibadat, pelancongan, perlombongan dan pemuliharaan.
Justeru, tanah di Gunung Kanthan telah dipajak secara sah kepada Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd (APMC) oleh Kerajaan Negeri Perak dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.
Pada tahun 1963, bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, telah merasmikan pembukaan kilang simen Kanthan sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan dan kemajuan ekonomi negara yang ketika itu baru dibentuk.
Selama lebih enam dekad, Kanthan telah menghasilkan bahan binaan penting bagi menyokong pembinaan rumah, sekolah, hospital, jalan raya dan pelbagai infrastruktur yang menyokong pembangunan, pada kos yang berdaya saing.
Apabila tindakan undang-undang menjadi langkah terakhir
Sejak 2013, APMC telah berusaha menyelesaikan isu pendudukan kuil tanpa kebenaran di atas tanah berkenaan, termasuk yang melibatkan pendudukan Dhamma Sakyamuni. Sebahagian besar isu pendudukan telah berjaya diselesaikan secara baik.
Namun, selepas usaha untuk mencapai penyelesaian perkara tersebut secara muafakat dengan Dhamma Sakyamuni tidak berhasil, APMC memulakan prosiding undang-undang pada 29 Januari 2021. Tindakan tersebut dibuat atas dua pertimbangan utama:
1. Hak ke atas tanah telah diputuskan melalui proses kehakiman
Dhamma Sakyamuni menduduki sebahagian kawasan di Kawasan C Gunung Kanthan, iaitu di atas tanah yang dipajak secara sah kepada APMC.
Pendudukan Dhamma Sakyamuni di atas tanah tersebut telah melalui proses kehakiman negara, iaitu pada September 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan kes memihak kepada APMC sebagai pemilik tanah yang berhak dan sah di sisi undang-undang.
Pada Februari 2024, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan Dhamma Sakyamuni untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan seperti di atas.
Sebagai sebuah negara demokrasi yang menjunjung kedaulatan undang-undang serta kewibawaan institusi kehakiman Malaysia, keputusan mahkamah wajib dihormati.
2. keselamatan nyawa manusia tidak boleh dikompromi
Formasi batu kapur karst mempunyai risiko geologi semula jadi, termasuk kejadian batu runtuh dan ketidakstabilan struktur. Risiko ini perlu diurus dengan serius, khususnya apabila melibatkan nyawa manusia yang mendiami gua atau berada berhampiran kawasan operasi kuari.
Perak mempunyai sejarah kejadian runtuhan batu kapur yang tragis. Antaranya, tragedi Gunung Cheroh pada tahun 1973 yang meragut 42 nyawa.
Penilaian geologi di Kawasan C Gunung Kanthan turut mengenal pasti beberapa aspek keselamatan yang perlu diberikan perhatian, termasuk rekahan serta bukti-bukti runtuhan batu yang telah berlaku.
Berdasarkan laporan lapangan, Dhamma Sakyamuni hanya digunakan oleh segelintir individu, tidak seperti kuil gua awam lain, contohnya Kuil Sam Poh Tong di Ipoh. Namun, jumlah pengunjung bukan ukuran kepada tanggungjawab terhadap keselamatan.
Apabila melibatkan nyawa manusia, tiada risiko yang wajar dipandang ringan.
Fakta yang perlu diperbetulkan
Beberapa dakwaan terus diulang dalam perbincangan awam tanpa konteks dan bukti yang sewajarnya.
Dakwaan 1: "Biara ini berusia lebih 100 tahun"
Dakwaan bahawa Dhamma Sakyamuni telah wujud di tapak tersebut selama lebih 100 tahun telah berulang kali diketengahkan.
Dakwaan ini turut dibangkitkan dalam prosiding undang-undang yang telah dipertikaikan dan tidak dapat dibuktikan sebagai fakta di peringkat Mahkamah Rayuan.
Berdasarkan rekod rasmi, Dhamma Sakyamuni hanya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada tahun 2007.
Perbezaan antara dakwaan kewujudan selama lebih satu abad dengan rekod rasmi di ROS adalah fakta penting yang tidak seharusnya diketepikan.
Oleh itu, sebarang pertimbangan untuk memberikan status warisan kepada lokasi tersebut sewajarnya dibuat oleh pihak berkuasa yang berkenaan berdasarkan bukti sejarah yang sahih, fakta yang dapat disahkan dan kriteria yang ditetapkan.
Dakwaan 2: "APMC mengabaikan biodiversiti Gunung Kanthan"
Dakwaan bahawa APMC tidak mengambil kira kepentingan biodiversiti Gunung Kanthan adalah tidak benar.
APMC telah secara proaktif menyokong penyelidikan saintifik dan kajian biodiversiti di Gunung Kanthan yang dijalankan oleh pakar serta penyelidik dalam bidang berkaitan.
Kajian ini secara saintifik memberikan pemahaman yang jelas mengenai biodiversiti Gunung Kanthan serta mengenal pasti kawasan tertentu yang mempunyai nilai pemuliharaan yang signifikan.
Sejak 2014, APMC telah komited dalam memulihara Kawasan D (Bukit Kanthan) berdasarkan bukti saintifik dan saranan pakar. Usaha pemuliharaan merangkumi kajian biodiversiti, penyelidikan spesies, pengurusan habitat, pemuliharaan tumbuhan serta program pemindahan spesies tumbuhan untuk melindungi warisan semula jadi bagi generasi akan datang.
Pendekatan APMC adalah jelas: pengurusan biodiversiti di Gunung Kanthan perlu berdasarkan fakta saintifik dan penyelidikan pakar agar aktiviti pemuliharaan dan pembangunan dijalankan secara mampan dan bertanggungjawab.
Pada masa yang sama, negara tetap memerlukan simen sebagai bahan binaan yang penting dan berdaya saing untuk membina rumah, sekolah, hospital dan infrastruktur yang lain.
Oleh demikian, pembangunan dan pemuliharaan warisan semula jadi boleh bergerak seiring.
Pendirian APMC mengenai Gunung Kanthan adalah berteraskan empat prinsip: menjunjung kedaulatan undang-undang, mengutamakan keselamatan awam, melaksanakan pemuliharaan berasaskan fakta saintifik dan memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Persoalan mengenai hak penguasaan tanah telah diputuskan oleh pihak mahkamah. Sebarang status warisan perlu ditentukan oleh pihak berkuasa berdasarkan bukti yang disahkan. Keputusan mengenai pemuliharaan perlu berpandukan sains dan penyelidikan pakar. Keselamatan nyawa manusia tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





