31.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 19, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bekas CEO nafi buat perjanjian dengan Sri Ram bagi keterangan memihak 1MDB

    Shopee Sale

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau telah membuat perjanjian dengan Datuk Seri Gopal Sri Ram (kini mendiang) untuk memberi keterangan memihak kepada syarikat itu.

    Shahrol Azral berkata Sri Ram, yang ketika itu bertindak sebagai pendakwa raya utama dalam perbicaraan kes jenayah membabitkan 1MDB, tidak menawarkan sebarang insentif kepada beliau untuk berbuat demikian sebagai pertukaran bagi menggugurkan namanya daripada saman itu.

    Saksi keempat plaintif berusia 56 tahun dalam kes saman 1MDB menuntut ganti rugi USD5.64 bilion itu berkata demikian semasa disoal balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, defendan pertama dalam sama tersebut.

    Muhammad Shafee: Adakah Sri Ram pernah menemu bual anda?

    Shahrol Azral: Ya.

    Muhammad Shafee: Adakah anda pernah makan tengah hari bersama-sama?

    Shahrol Azral: Ya, sekali.

    Muhammad Shafee: Adakah anda membuat sebarang perjanjian dengan Sri Ram?

    Shahrol Azral: Tidak.

    Shahrol Azral juga berkata beliau tidak pernah bertanya kepada Sri Ram mengapa beliau perlu memberi keterangan yang memihak kepada 1MDB sedangkan syarikat itu telah memfailkan saman terhadapnya.

    Saksi itu berkata beliau tidak tahu mengapa 1MDB menggugurkan namanya daripada saman berkenaan.

    Shahrol Azral bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau selesa memberikan keterangan dalam perbicaraan jenayah itu kerana wujud aku janji di pihak pendakwaan, selain menjangkakan dirinya akan dilindungi daripada sebarang tindakan lanjut undang-undang.

    MENARIK:  13 pelajar kolej vokasional didapati bersalah bunuh rakan

    Beliau juga tidak pernah memohon imuniti di bawah Seksyen 132 Akta Keterangan 1950 sebelum menjadi saksi dan menolak dakwaan bahawa dia memberi keterangan dengan harapan ia akan melindunginya daripada tindakan undang-undang di masa hadapan.

    1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

    Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, Vincent Beng, bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad, Kelvin Tan serta bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

    Minggu lepas, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula. Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Jasmine daripada saman itu.

    Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif telah menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah