Presiden Donald Trump pada Ahad mengecam Pope Leo XIV berhubung kritikan pontiff Gereja Roman Katolik kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu terhadap peranang di Iran.
CNBC memetiknya sebagai berkata dia tidak mahu seorang Pope yang mengkritik presiden Amerika Syarikat kerana dia melakukan apa yang diamanahkan kepadanya selepas menang besar dalam pilihan raya, menurut hantaran di Truth Social.
Trump mengaitkan kenaikan pangkat pope tersebut dengan kepulangannya ke pejabat sebagai presiden.

"Saya bukan peminat Pope Leo. Dia seorang yang sangat liberal dan tidak percaya dalam menghentikan jenayah.
“Leo patut berterima kasih kerana, seperti yang semua orang tahu, pelantikannya adalah satu kejutan besar, kata Trump. Dia tidak ada dalam mana-mana senarai untuk menjadi Pope, dan hanya diletakkan di sana oleh Gereja kerana dia seorang warga Amerika.
“Mereka fikir itu adalah cara terbaik untuk berurusan dengan Presiden Donald J Trump. Jika saya tiada di White House, Leo tidak akan berada di Vatican.”
Trump berkata Leo lemah terhadap jenayah, lemah terhadap senjata nuklear, tidak sehaluan dengannya, serta tidak menggemari fakta bahawa dia bertemu dengan penyokong Obama seperti David Axelrod, seorang yang gagal daripada sayap kiri, yang merupakan salah seorang daripada mereka yang mahu jemaah gereja dan paderi ditangkap, merujuk kepada pertemuan baru-baru ini antara pope dan bekas pembantu politik Presiden Barack Obama.
Leo, pope pertama kelahiran AS yang berasal dari Chicago, sebelum ini mengutuk usaha peranang Trump dengan Iran.
"Cukup dengan penyembahan diri dan wang. Cukup dengan pameran kuasa.
“Cukuplah dengan peranang! Kekuatan sebenar dizahirkan dalam berkhidmat untuk nyawa,” kata Leo pada Sabtu, menurut CBS.

Pontiff itu juga berkata adalah benar-benar tidak dapat diterima untuk Trump membuat ancaman baru-baru ini bahawa dia akan memusnahkan seluruh tamadun di Iran.
Leo juga menggunakan mesej Easter untuk menyeru kepada keamanan.
“Biarlah mereka yang mempunyai senjata meletakkannya! Biarlah mereka yang mempunyai kuasa untuk mencetuskan peperanangan memilih keamanan!
“Bukan keamanan yang dipaksakan dengan kekerasan, tetapi melalui dialog! Bukan dengan keinginan untuk mendominasi orang lain, tetapi untuk menemui mereka!” katanya.
Leo dan pemimpin gereja lain juga ada kalanya mengkritik tajam dasar imigresen domestik Trump.
Pontiff itu menyokong mesej November daripada Persidangan Biskop Katolik AS yang berkata mereka terganggu apabila melihat dalam kalangan rakyat wujud suasana ketakutan dan kebimbangan mengenai persoalan pemprofilan dan penguatkuasaan imigresen.
“Kami para biskop menyokong reformasi bermakna terhadap undang-undang dan prosedur imigresen negara kita,” tulis biskop tersebut.
“Maruah manusia dan keselamatan negara tidak bercanggah. Kedua-duanya mungkin dicapai jika orang yang mempunyai niat baik bekerjasama.”





