Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Mohd Nor secara berseloroh mengarahkan ketua muslimat parti itu supaya tidak menjawab soalan “racun” berhubung cadangan seorang perwakilan Pemuda yang menyarankan supaya perkahwinan rentas kaum ataupun rentas budaya digalakan dengan wanita bukan Melayu.
“Toksah (tak payah) jawablah. Depa (mereka) ni racun kita.
“Provokasi panjangkan cerita semalam,” katanya kepada Nuridah Mohd Salleh semasa sidang media selepas merasmikan Muktamar Muslimat PAS ke-64 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

Pada perbahasan semalam, Setiausaha Pemuda PAS Selangor, Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, taktik berkahwin dengan bukan Melayu boleh memenangi parti itu bukan saja berpuluh, malah ratusan undi.
Justeru katanya, kepimpinan Pemuda PAS perlu berkahwin rentas kaum ataupun rentas budaya.
Sebelum soalan itu diajukan kepada Nuridah, soalan yang sama ditujukan kepada Sanusi yang minggu lalu mengesahkan dia sudah berpoligami.
“Berani ke? Kahwin dengan orang bukan Islam tak boleh, kena jadi Islam dulu. Kaum lain boleh.
“Salah satu cara la (untuk tambahkan penyokong PAS), boleh teroka la. “Saja buat bagi riuhlah tu,” katanya disusuli gelak-ketawa.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata perkahwinan adalah kerana Allah dan bukan kerana hendak mendapatkan undi.
“Kahwin kerana undi tak sah,” katanya.

Mengulas tentang cadangan perwakilan Pemuda PAS, yang menyebutnya sebagai calon perdana menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) menawan Putrajaya pada PRU-16 nanti, Sanusi mengakui bahawa dirinya tidak bersedia.
“Tak saya tak sedia. Carilah orang lain. “Saya ini orang parti, saya tak target untuk diri sendiri. Parti yang susun saya.
“Parti suruh duduk cawangan saya duduk cawangan. Tak ada cita-cita peribadi,” katanya.
Selain sebagai pengarah pilihan raya PAS dan ahli jawatankuasa PAS pusat, Sanusi yang juga menteri besar Kedah diberi penghormatan merasmikan Muktamar Muslimat PAS yang lazimnya dilakukan oleh pemimpin kanan parti itu.





