Kerajaan tidak bercadang untuk menyemak semula keputusan memilih syarikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai pengendali kedua rangkaian telekomunikasi 5G di negara ini.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata langkah tersebut dianggap tidak perlu kerana pengundian sudah dibuat secara bebas, dan tidak melibatkan campur tangan pentadbiran.
Bahkan, kata Fahmi, keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh oleh ahli-ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Tidak (bercadang untuk semak semula). Kalau kita lihat dalam sidang parlimen apabila saya menjawab pada tempoh hari - sewaktu sesi soal jawab menteri - kebiasaannya ahli-ahli parlimen akan ambil peluang untuk bertanya lanjut.
“Dalam konteks pengundian oleh MCMC, ia telah dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dan diputuskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli suruhanjaya.
“Pihak pentadbiran tidak terlibat, tidak masuk campur, dan saya perlu peringatkan, ini bukan kontrak,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.





