Public Health Malaysia (PHM) tampil menjelaskan antara faktor yang mendorong ramai etnik Rohingya memilih Malaysia sebagai destinasi selepas melarikan diri dari negara asal mereka.
Lima faktor Rohingya pilih Malaysia

Menurut perkongsian itu, istilah ‘memilih’ sebenarnya kurang tepat kerana kebanyakan mereka bukan berhijrah atas pilihan, sebaliknya terpaksa meninggalkan tempat asal akibat konflik, kemiskinan dan ketiadaan kewarganegaraan sehingga tidak lagi mempunyai banyak pilihan untuk meneruskan kehidupan.
Antara faktor utama ialah kewujudan komuniti Rohingya yang sudah lama menetap di negara ini, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan tempat tinggal, pekerjaan harian serta bantuan daripada rangkaian keluarga atau kenalan.
Selain itu, faktor agama dan budaya turut memainkan peranan memandangkan Malaysia merupakan negara majoriti Islam. Peluang pekerjaan tidak formal, walaupun tanpa pengiktirafan sah sebagai pekerja, juga menjadi antara sebab mereka sanggup mengambil risiko memasuki negara ini.
Dalam masa sama, PHM menegaskan isu pelarian tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja. Walaupun mereka melarikan diri kerana keadaan yang terdesak, Malaysia juga mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undang, menjaga keselamatan serta mengawal sempadan negara.
Menurut PHM, isu ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk peperangan, kemiskinan, status tanpa kerakyatan (statelessness), kegiatan sindiket penyeludupan manusia serta kelemahan pengurusan pelarian di peringkat serantau.
Selagi punca utama tidak ditangani, tekanan kemasukan pelarian ke Malaysia dijangka akan terus berlaku.
Berdasarkan data UNHCR, seramai 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar berada di Malaysia setakat akhir Februari 2026, termasuk 126,144 etnik Rohingya. UNHCR turut memaklumkan angka itu tidak termasuk kemasukan baharu yang belum didaftarkan.
Sumber: Facebook Public Health Malaysia
The post Kenapa Ramai Rohingya Datang Ke Malaysia? Public Health Malaysia Kongsi 5 Faktor Utama first appeared on OHBULAN!.





