Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menolak spekulasi Jagdeep Singh Deo akan disingkirkan sebagai timbalan ketua menteri II selepas Adun Datok Keramat itu mengambil cuti atas sebab kesihatan.
“Berhubung spekulasi bahawa akan berlakunya pertukaran jawatan yang disandang beliau (Jagdeep) kini, ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.
“Saya dan juga seluruh jentera barisan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang mendoakan supaya Jagdeep cepat sembuh dan kembali bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negeri Pulau Pinang demi kepentingan seluruh rakyat Pulau Pinang,” kata Chow dalam satu kenyataan.

Jagdeep semalam menafikan dakwaan yang dia diminta bercuti daripada tugasnya sebagai Exco.
Jagdeep sebaliknya berkata, dia sendiri memohon cuti bagi mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur.
“"Saya kini berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangan kedua mengenai (kecederaan) buku lali saya. Meskipun sudah dua tahun, nampaknya masalah itu semakin teruk.
"Anda boleh melihat saya berjalan terhincut-hincut dan kadang-kadang perlu dibantu oleh pegawai saya untuk naik ke pentas semasa acara," katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jagdeep berkata dia juga ingin mendapatkan rawatan bagi psoriasis - penyakit yang memberi kesan kepada kulit - yang dialaminya.
Mengesahkan perkara itu, Chow berkata Jagdeep bertemu dengannya pada 19 Julai bagi memohon cuti sakit.
Chow berkata, Jagdeep menyatakan pakar akan memeriksa kaki kirinya tidak lama lagi dan mungkin memerlukan pembezahan.
“Setelah mempertimbangkan penjelasan serta tujuan permohonan cuti Jagdeep, saya telah memberi kelulusan cuti bermula 22 Julai sehingga 5 Ogos, sebagaimana dimohon oleh beliau.
“Saya dimaklumkan bahawa Jagdeep sudah mula menerima rawatan yang diperlukan pada 22 Julai,” tambahnya.





