31.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Raja benteng terakhir negara: Pengajaran dari Uthmaniyyah

    Shopee Sale

    ULASAN | Sejarah mengajar satu hakikat yang sangat penting. Sesebuah tamadun besar tidak runtuh hanya kerana serangan musuh dari luar, tetapi sering kali bermula dengan kerosakan keyakinan umat terhadap institusi yang menjadi payung kesatuan mereka sendiri.

    Inilah antara tragedi besar yang menimpa Khilafah Turki Uthmaniyyah pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

    Sebuah empayar Islam yang pernah menjadi pelindung dunia Islam selama lebih enam abad akhirnya runtuh bukan sahaja kerana tekanan ketenteraan Barat, tetapi lebih parah akibat hakisan dalaman yang melemahkan penghormatan umat terhadap institusi khalifah.

    Kejatuhan Uthmaniyyah tidak berlaku dalam satu malam. Ia didahului oleh proses panjang pembentukan persepsi, penghinaan terhadap simbol pemerintahan, perpecahan dalaman dan penanaman rasa benci terhadap khalifah serta institusi yang menjadi lambang penyatuan umat Islam.

    Sebelum runtuhnya khilafah Islam terakhir itu, bibit kebencian terhadap khalifah mula ditanam secara sistematik. Propaganda disebarkan melalui akhbar, gerakan pemikiran, kelompok nasionalis ekstrem dan campur tangan kuasa Barat.

    Sedikit demi sedikit, institusi khalifah dilemahkan di mata rakyat sehingga akhirnya runtuh tanpa pertahanan menyeluruh daripada umat sendiri.

    Sekularisme dan nasionalisme bangsa yang sempit

    Sejarawan terkenal Bernard Lewis dalam karya The Emergence of Modern Turkey menjelaskan bahawa antara faktor utama keruntuhan Uthmaniyyah ialah hakisan kesetiaan politik dan spiritual umat terhadap institusi khalifah akibat tekanan dalaman dan pengaruh Barat moden.

    Dalam tradisi politik Islam klasik, penyebutan nama pemerintah dalam khutbah Jumaat bukan sekadar adat atau simbol kosong. Ia melambangkan pengiktirafan terhadap kuasa pemerintahan yang sah dan kesatuan siyasah umat Islam.

    Marshall G.S. Hodgson dalam The Venture of Islam menjelaskan bahawa legitimasi politik dalam tradisi Islam lazimnya dizahirkan melalui dua simbol utama, iaitu mata wang dan khutbah.

    Lebih menyedihkan, sejarah mencatatkan bahawa pada suatu ketika terdapat khatib di beberapa wilayah tertentu yang tidak lagi membacakan doa kepada khalifah dalam khutbah Jumaat. Apabila nama khalifah mula dibuang daripada mimbar, ia menandakan retaknya kesetiaan politik umat dan mula runtuhnya simbol penyatuan dunia Islam.

    Imam Al-Mawardi dalam kitab Al-Ahkam al-Sultaniyyah menegaskan bahawa kewujudan imamah atau kepimpinan tertinggi umat adalah keperluan bagi menjaga agama dan mentadbir dunia:

    “Imamah diwujudkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir urusan dunia.”

    Sultan Abdul Hamid II merupakan antara khalifah terakhir yang berusaha mempertahankan kesatuan umat melalui gagasan Pan-Islamisme. Baginda memahami bahawa kuasa Barat sedang berusaha memecahkan dunia Islam melalui penjajahan, hutang luar, nasionalisme sempit dan gerakan sekularisme moden.

    Namun gerakan nasionalis sekular seperti Young Turks mula membina persepsi bahawa institusi khalifah merupakan penghalang kepada kemodenan dan pembangunan Turki moden. Kesetiaan umat terhadap khalifah mula digantikan dengan nasionalisme bangsa yang sempit dan pemikiran sekular Barat.

    Dunia Islam terpecah

    Akhirnya selepas kekalahan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, institusi kesultanan dimansuhkan pada tahun 1922 dan khilafah secara rasmi dihapuskan pada tahun 1924 oleh Mustafa Kemal Atatürk. Abdulmecid II selaku khalifah terakhir dibuang negeri. Dunia Islam kehilangan simbol kesatuan politik yang telah bertahan selama berabad-abad.

    Kejatuhan itu bukan sekadar perubahan pentadbiran di Turki, tetapi musibah geopolitik besar kepada dunia Islam. Sejarawan William L. Cleveland menjelaskan bahawa selepas kejatuhan Uthmaniyyah, dunia Islam mula dipecahkan kepada negara-negara kecil yang mudah dipengaruhi kuasa asing melalui sempadan politik baru hasil Perjanjian Sykes-Picot.

    Akibatnya, umat Islam kehilangan satu simbol besar penyatuan politik. Palestin jatuh. Dunia Arab berpecah. Konflik sektarian meningkat. Kuasa asing mula menentukan masa depan umat Islam menurut kepentingan geopolitik mereka sendiri.

    MENARIK:  BN tanding kurang 48 kerusi? Saya akan umum minggu depan, kata Zahid

    Tokoh reformis Islam abad ke-20, Muhammad Rashid Rida dalam karya Al-Khilafah aw al-Imamah al-‘Uzma turut menegaskan bahawa kehilangan institusi payung umat akan menyebabkan umat Islam menjadi lemah, berpecah dan mudah dikuasai pihak luar.

    Sebab itu umat Islam di Malaysia wajib mengambil ibrah daripada sejarah ini.

    Benteng terakhir negara

    Malaysia bukan negara republik. Malaysia dibina atas asas Raja Berperlembagaan dan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kestabilan negara.

    Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 32 memperuntukkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara manakala Perkara 38 memperincikan fungsi Majlis Raja-Raja dalam struktur kenegaraan Malaysia. Perkara 3 pula memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

    Institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar adat istiadat atau simbol kebudayaan semata-mata. Ia mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam sejarah pembentukan negara, perlindungan agama Islam, hak Melayu Bumiputera serta kestabilan masyarakat majmuk.

    Dalam banyak keadaan, institusi beraja menjadi benteng terakhir ketika suhu politik negara menjadi tegang. Raja dan Sultan berfungsi sebagai unsur semak imbang, simbol perpaduan dan pelindung kepada struktur kenegaraan.

    Atas sebab itu, sebarang usaha menanam kebencian terhadap institusi beraja, memperlekeh Sultan dan merosakkan penghormatan rakyat terhadap Raja-Raja Melayu mesti dikekang dengan pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

    Dalam masa yang sama rakyat mesti diberikan pendidikan berterus bagi memahami dan menghayati keperluan dan kepentingan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung yang menyatukan seluruh rakyat .

    Sejarah membuktikan bahawa musuh tidak akan meruntuhkan sesuatu institusi besar secara langsung pada peringkat awal. Mereka akan melemahkan keyakinan rakyat terlebih dahulu. Mereka akan menanam rasa sinis, memperlekeh kewibawaan institusi dan membina persepsi bahawa institusi itu tidak lagi relevan.

    Inilah yang berlaku terhadap Khilafah Uthmaniyyah.

    Hari ini, rakyat Malaysia wajib bersyukur kerana negara ini masih mempunyai Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai payung tempat rakyat berteduh. Dalam keadaan dunia semakin tidak stabil, identiti bangsa dan agama semakin dicabar, institusi beraja menjadi antara tiang penting yang mempertahankan keseimbangan negara.

    Mempertahankan institusi beraja tidak bermaksud menolak demokrasi atau menutup ruang pandangan berbeza. Islam sendiri mengajar prinsip nasihat dan teguran dengan hikmah. Namun mempertikaikan sehingga mahu melemahkan asas institusi adalah jalan yang sangat berbahaya bagi masa depan negara.

    Menjaga kestabilan pemerintahan dan mengelakkan kerosakan lebih besar merupakan antara maqasid penting dalam siyasah Islam.

    Kita tidak mahu mengulangi kesilapan sejarah umat terdahulu. Ketika institusi masih kuat, jangan kita sendiri menjadi penyebab ia dilemahkan. Ketika payung masih melindungi, jangan kita koyakkan dengan tangan sendiri.

    Apabila payung sudah patah, barulah manusia terasa panasnya matahari dan derasnya hujan.

    Sejarah Khilafah Uthmaniyyah sepatutnya menjadi amaran besar kepada umat Melayu Islam di negara ini. Selagi rakyat bersatu mempertahankan agama, bangsa dan institusi beraja dengan hikmah dan kebijaksanaan, maka segala percaturan musuh untuk meruntuhkan asas negara akan gagal.

    Kerana sesebuah negara tidak akan kuat hanya dengan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata.

    Negara menjadi kuat apabila rakyatnya masih menghormati akar sejarah, mempertahankan identiti dan menjaga institusi yang menjadi tiang kepada kestabilan watan.


    MOHAMED SUKRI OMAR merupakan Ketua Pemuda PAS Selangor.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah