Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan tidak wujud istilah 3R (Kaum, Agama dan Raja) dalam kerangka politik Islam.
Bagi mengukuhkan pendapat tersebut, Ahli Parlimen Marang itu memetik hadis riwayat Muslim, sahih Muslim, Kitab al-Iman, no 55 daripada Tamim al-Dahri.
“Agama itu nasihat.” Kami (para sahabat) bertanya, “Bagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin (pemerintah atau ketua negara), dan juga orang ramai," tulis Abdul Hadi memetik hadis berkenaan.
"Nasihat itu bagi Allah, bagi Rasul, bagi para pemimpin Islam dan bagi umatnya. Maka, tidak ada yang dinamakan larangan 3R (Race, Religion, Royal) dalam politik Islam.
“Allah mengharamkan percakapan mengenai Islam tanpa ilmu," katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS.
Tulisan panjang bertajuk "Menyanggah tohmahan PAS autokratik", itu menjawab tuduhan mengaitkan parti itu dengan sistem atau amalan "mullah".
Abdul Hadi berkata, para ilmuwan Barat sengaja memomokkan Islam dengan perkataan yang memberi gambaran yang negatif, khususnya dalam agenda Islamofobia.
Propaganda musuh Islam
Malangnya, katanya, terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta terhadap al-Quran terikut sama mencanangkan propaganda musuh terhadap Islam, antaranya jenama mullah dan teokrasi.
"Istilah mullah berasal daripada perkataan Arab, iaitu mawla (yang bermaksud tuan atau pelindung) dan dalam sesetengah masyarakat Islam, istilah ini merujuk kepada sarjana atau ilmuwan agama Islam yang dihormati.
"Di Barat, istilah ini sering digunakan dalam konteks yang diterjemahkan sebagai pendeta Islam atau pemimpin undang-undang dan doktrin Islam yang disamakan dengan istilah paderi atau pendeta dalam agama Kristian.
"Adapun teokrasi digambarkan tidak demokratik kerana menyekat kebebasan, khususnya kepada kaum wanita, serta bersifat anti terhadap perubahan dengan bertopengkan agama,” tegasnya.
Baru-baru ini, sumber dalaman Bersatu mengingatkan PAS bahawa PN ditadbir mengikut semangat kerjasama dan persefahaman antara anggotanya, bukan ditentukan oleh seseorang secara mutlak.
Ini selepas Abdul Hadi memberitahu media bahawa parti itu tidak berpuas hati terhadap beberapa langkah diambil Bersatu walaupun kedua-duanya menjadi parti teras dalam PN.

“Jika PAS faham kaedah berorganisasi, faham Perlembagaan PN dan faham kaedah bekerja dalam pasukan, mereka tentu tahu bahawa sesuatu perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat MT PN, maka majlis presiden boleh bersidang untuk membuat keputusan muktamad.
“Bercakap tentang hal dalaman kepada orang luar bukanlah caranya. Presiden PAS juga tiada kuasa veto untuk membatalkan keputusan MT.
“PN tidak guna sistem mullah,” kata sumber itu – yang enggan didedahkan identitinya – kepada Malaysiakini.
‘Bukan Madani liberal’
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata Iran sering dijadikan contoh negara yang mengamalkan teokrasi, iaitu merujuk kepada golongan ulama Syiah yang memegang tampuk kekuasaan atau pengaruh politik.
"Media Barat pula kadang-kadang menggunakan istilah ini secara longgar untuk menggambarkan pemimpin teokratik atau tokoh konservatif Islam.

"Penggunaan istilah ini oleh sarjana Barat (orientalis) sering dikritik oleh ahli akademik Islam. Pengkaji dalam wacana Orientalisme menekankan bahawa Barat sering menggambarkan Timur (termasuk Islam) melalui lensa bias bagi tujuan hegemoni dan politik," jelasnya.
Menurutnya, Islam berkonsepkan madani hidayah dan islah, bukan madani liberal.
"Negara Islam berjaya memandu tamadun manusia dengan sempadan agama Allah, menerima semua yang baik dan menolak semua yang buruk berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar.
"Maka, istilah perkataan mullah mengikut teori Barat bukan daripada fiqh siyasi (ilmu politik Islam)," katanya.





