Tengkorak manusia dipercayai milik seorang lelaki dewasa ditemukan di perairan Sedili dekat Kota Tinggi, selepas tersangkut pada pukat ikan milik seorang nelayan tempatan pada 6 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata tengkorak berkenaan dijumpai tekong bot berusia 44 tahun pada kira-kira 3 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Beliau berkata tengkorak itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan forensik mengesahkan tengkorak dijumpai dipercayai milik seorang lelaki dewasa berusia 20 hingga 30 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta menghubungi Ketua Polis Balai Kuala Sedili SM Mohammad Aizat Ahmad di talian 018-2464667 bagi membantu siasatan.





