Iran mengecam keras apa yang disifatkannya sebagai serangan tentera Amerika Syarikat (AS) berhampiran Bandar Abbas di selatan Iran pada Khamis, sambil menuduh Washington berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dan mengugut negara serantau, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Kementerian Luar Iran pada Khamis.
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata serangan AS berhampiran Bandar Abbas yang dilakukan awal pagi Khamis adalah “pelanggaran terang-terangan” terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Baghaei berkata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bertanggungjawab melaksanakan kewajipan undang-undangnya dengan memastikan AS dipertanggungjawabkan atas apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan terhadap integriti wilayah dan kedaulatan negara Iran.
Beliau turut menuduh Washington terus melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 8 April lalu, dengan merujuk kepada serangan terhadap kapal dagang di rantau Teluk dan perairan antarabangsa, selain serangan udara terbaru di selatan Iran.
Jurucakap itu menegaskan tekad Iran untuk mengambil “semua langkah perlu” bagi mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya selaras dengan Artikel 51 Piagam PBB.
Baghaei turut mengecam kenyataan berbaur ugutan oleh pegawai AS terhadap Iran dan beberapa negara serantau, sambil menyatakan solidariti terhadap Oman.
Beliau berkata ancaman untuk “memusnahkan” sebuah negara anggota PBB seperti Oman, yang memainkan perananan konstruktif dan bertanggungjawab dalam keamanan serantau serta usaha pengantaraan diplomatik, mencerminkan normalisasi berbahaya terhadap “ketidakpatuhan undang-undang dan pembulian” dalam hubungan antarabangsa.
Terdahulu pada Khamis, seorang pegawai AS memberitahu Anadolu bahawa tentera AS menembak jatuh empat dron Iran berhampiran Selat Hormuz dan menyerang sebuah stesen kawalan darat Iran di Bandar Abbas yang didakwa sedang bersiap sedia melancarkan satu lagi dron.
Pegawai itu menyifatkan tindakan AS sebagai “terkawal” dan “semata-mata bersifat pertahanan” dengan tujuan mengekalkan gencatan senjata.
Sebagai tindak balas terhadap serangan AS itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata ia menyasarkan sebuah pangkalan udara AS di Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan udara Amerika berhampiran Lapangan Terbang Bandar Abbas.
Menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, IRGC berkata serangan balas itu berlaku beberapa jam selepas peluru berpandu udara AS didakwa menyerang kawasan berhampiran lapangan terbang di bandar pelabuhan selatan itu.
Ketegangan terbaru ini berlaku ketika usaha berterusan dijalankan untuk mencapai perjanjian lebih menyeluruh susulan peranang yang tercetus pada 28 Februari lalu apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sekali gus mencetuskan serangan balas dron dan peluru berpandu Iran di seluruh rantau serta penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April hasil pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan penyelesaian kekal. Presiden AS Donald Trump kemudian melanjutkan tempoh gencatan senjata itu tanpa had sambil meneruskan sekatan terhadap kapal yang mempunyai kaitan dengan pelabuhan Iran.





