Himpunan solidariti terhadap bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, esok, yang dibatalkan terus menjadi topik perbincangan hangat.
Seorang ahli parlimen PKR hari ini tampil mempertahankan hak keluarga dan penyokong bekas perdana menteri keenam itu untuk berhimpun meskipun dia sendiri secara peribadi tidak bersetuju dengan perhimpunan itu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, yang juga seorang peguam, meneliti isu itu dari sudut undang-undang.
Tegas Hassan penyokong Najib mempunyai hak perlembagaan untuk berhimpun di hadapan Mahkamah Rayuan dan perhimpunan seperti itu tidak boleh dianggap sebagai derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Hak untuk berhimpun dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang secara terang menyatakan bahawa semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Adakah orang ramai yang berhimpun esok di hadapan Mahkamah Rayuan Malaysia dianggap menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong?
“Jawapannya adalah tidak. Tidak sama sekali. Malaysia sebuah negara demokratik bukannya sebuah negara feudal mutlak,” kata Hassan.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan parti itu membatalkan perhimpunan solidariti untuk Najib yang dijadualkan pada 6 Jan. Najib menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Asyraf berkata keputusan itu dibuat susulan titah Istana Negara mengenai prerogatif pengampunan raja dan gesaan ketua polis negara supaya tidak menghadiri perhimpunan yang menyentuh isu itu.
Bagaimanapun, PAS menegaskan parti itu tetap akan meneruskan perhimpunan tersebut.
Mengulas lanjut, Hassan berkata perhimpunan solidariti itu tidak bercanggah dengan titah Agong.
Jelas Hassan, kenyataan Istana Negara bertarikh 3 Januari 2025 hanya menegas dan mengulangi apa yang dinyatakan oleh Jabatan Peguam Negara pada 28 Disember 2024.
“Kenyataan Istana Negara menegaskan dengan jelas sekali lagi bahawa Yang Di Pertuan Agong memiliki kuasa prerogatif memberi ampun, tunda hukuman dan lega hukum bagi kesalahan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Kata Hassan, kenyataan Istana Negara itu juga tidak membatalkan hak rakyat berhimpun seperti disebut di bawah Perkara 10(1)(b).
“Perlu dijelaskan bahawa undang-undang yang tertinggi dipakai di negara kita Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana Negara.
“Hal ini bersesuaian dengan dasar negara kita Malaysia yang urusan kenegaraannya berteraskan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
“Ini diperkuatkan lagi dengan prinsip Malaysia mengamalkan dasar demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, di mana kuasa rakyat dan kuasa raja bergerak harmoni dan seimbang,” katanya.
Syarat utama berhimpun secara aman
Hassan turut memuji pentadbiran bekas perdana menteri keenam itu kerana menggubal Akta Perhimpunan Aman 2012, yang memberi ruang kebebasan lebih luas kepada rakyat untuk berhimpun dengan aman bagi menggantikan Akta Polis 1967 yang menyekat dan mengongkong kebebasan rakyat.
“Penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah satu usaha positif, berani dan progresif yang pernah dilakukan oleh bekas perdana menteri Najib Razak,” katanya.

Hassan berkata akta tersebut juga telah dipinda supaya menjadi lebih demokratik dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2019, yang diketuai oleh bekas perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad.
“Satu daripada pindaan yang baik itu ialah memendekkan tempoh Notis Pemberitahuan kepada pihak Polis dari 10 hari menjadi lima hari sahaja dari tarikh perhimpunan diadakan,” katanya.
Tambah Hassan, walaupun dia mempunyai pandangan peribadi dalam isu perhimpunan aman itu esok, namun ahli Parlimen Pasir Gudang itu menegaskan bahawa hak untuk berhimpun setiap rakyat tidak boleh dinafikan.
“Pendirian peribadi saya tidak boleh menafikan hak ahli keluarga Najib Razak dan penyokong-penyokong mantan perdana menteri keenam dari seluruh negara termasuk ahli-ahli Umno, PAS, Bersatu, BN dari MIC dan MCA, para NGO dan rakyat biasa berhimpun seperti dijamin oleh Perlembagaan negara.
“Syaratnya utama ada dua iaitu berhimpunlah secara aman dan tidak membawa senjata.
“Pihak Polis sewajarnya menghayati semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memahami niat dan tujuan Parlimen pada tahun 2012 semasa pentadbiran perdana menteri Najib Razak menggubal Akta 736 tersebut untuk memudahkan rakyat berhimpun selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.
"Kepada sesiapa yang datang berhimpun esok 6 Januari 2025 secara aman di hadapan Mahkamah Rayuan maka rayakanlah dan nikmatilah hak anda yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.





