29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, July 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Syarikat sediakan cek RM1 juta untuk Bersatu tapi tak tahu untuk apa

    Shopee Sale

    Pengarah Urusan Nepturis Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa syarikatnya menyediakan cek berjumlah RM1 juta untuk dibayar kepada Bersatu.

    Mohd Rizman Akum Khan, 43, berkata ahli perniagaan Lian Tan Chuan (TC Lian) telah memintanya untuk menyediakan cek Maybank Islamic Berhad milik Nepturis bertarikh 16 Feb 2022 untuk dibayar kepada parti politik itu.

    "Saya sahkan saya yang menandatangani pada ruang tandatangan cek ini. Saya sahkan ini tandatangan saya sendiri.

    "Setelah saya menyediakan dan menandatangani cek ini saya serahkan semula cek ini kepada TC Lian,” katanya dalam pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

    Pada prosiding sebelum ini, Pengarah dan Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn Bhd Aliza Abd Malek, 47, berkata pada 2018, beliau dan Mohd Rizman mengambil alih syarikat itu yang dimiliki TC Lian, serta dilantik sebagai pengarah syarikat dan memegang saham 50 peratus bagi setiap seorang dalam syarikat tersebut.

    Aliza berkata TC Lian mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam Nepturis kerana segala modal syarikat itu hasil suntikan modal daripada syarikat TC Lian iaitu Metrasys Sdn Bhd.

    Disoal peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin sama ada Mohd Rizman bersetuju bahawa RM1 juta tersebut bukan duit rasuah, saksi pendakwaan ke-16 itu berkata dia tidak pasti dan hanya TC Lian yang boleh menjawab, selain tidak tahu tujuan cek berkenaan.

    Kepada soalan Amer Hamzah sama ada saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa cek RM1 juta berkenaan bukan satu bentuk suapan, Mohd Rizman berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada ia rasuah atau sebaliknya.

    Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tentang pihak yang boleh mengesahkan sama ada cek RM1 juta itu sumbangan atau imbuhan, Mohd Rizman berkata perkara itu perlu dirujuk kepada TC Lian.

    Mengenai surat Nepturis kepada Muhyiddin bertarikh 1 Feb 2021 bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor dan mengapa surat tersebut ditujukan kepada bekas perdana menteri itu, Mohd Rizman berkata beliau hanya mengikut arahan daripada TC Lian.

    MENARIK:  Pendekatan terbaik k'jaan negeri selesai isu peniaga Cameron Highlands - Sultan Pahang

    Menurut pernyataan saksinya, Mohd Rizman mengesahkan syarikat Nepturis memperoleh projek berkenaan dengan kos bernilai RM141 juta.

    Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, beliau berkata nama TC Lian tiada dalam dokumen pemilikan saham Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) walaupun mempunyai 30 peratus pegangan saham dalam Nepturis.

    Hakim Noor Ruwena Md Nurdin kemudian meminta kepastian mengapa Nepturis tidak mengisytiharkan pegangan saham TC Lian kepada SSM dan hanya mengisytiharkan kedua-dua pengarah iaitu Mohd Rizman dan Aliza, masing-masing mendapat 50 peratus.

    Bagaimanapun, Mohd Rizman berkata perkara itu tidak menjadi kesalahan kerana ia merupakan strategi perniagaan, malah Nepturis mendapat suntikan modal daripada syarikat Metrasys Sdn Bhd milik TC Lian.

    "Metrasys tidak akan masuk dalam mana-mana projek kerajaan kerana ia (syarikat Metrasys) 100 peratus bukan milik bumiputera. Jika TC Lian ada pegangan saham dalam Nepturis, ia tetap milik bumiputera kerana beliau hanya mempunyai 30 pegangan saham," katanya.

    Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan fyra pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

    Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan kes bersambung 27 Julai ini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah