29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, July 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Poster calon jadi usikan: PSM kata ‘sosah’, orang Nogori sebut susah

    Shopee Sale

    Langkah Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggunakan loghat Negeri Sembilan dalam kempen calonnya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang mencuri perhatian apabila penggunaan perkataan "sosah" pada poster kempen menjadi bahan usikan di media sosial.

    Poster yang dimuat naik di Facebook PSM itu memperkenalkan calon DUN Rahang, Tinagaran Subramaniam, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Tina, dengan slogan "Lomah dibelo, sosah dibantu".

    Sebahagian pengguna Facebook mempersoalkan penggunaan perkataan "sosah" dengan mengatakan ia membawa maksud "memukul, membelasah atau menyebat seseorang", manakala perkataan "susah" kekal disebut dan dieja tanpa perubahan dalam loghat Negeri Sembilan.

    Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata penggunaan perkataan berkenaan dibuat selepas parti itu mendapatkan pandangan daripada ahli-ahlinya di Negeri Sembilan.

    Katanya, slogan itu digunakan selepas perbincangan dengan ahli-ahli parti yang berasal dari negeri berkenaan bagi memastikan ketepatan penggunaan perkataan tersebut.

    "Sebelum kami gunakan slogan itu, memang ada perbincangan mengenainya. Mereka kata perkataan itu boleh membawa kedua-dua maksud bergantung pada konteks.

    "Dalam konteks slogan ini, ia bermaksud 'susah'. Sebutannya boleh jadi 'sosah', 'susoh' dan sebagainya.

    "Saya orang Perak. Ini penjelasan daripada mereka yang dari Negeri Sembilan," katanya kepada Malaysiakini.

    'Entah orang Negeri Sembilan mana dia jumpa'

    MENARIK:  Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$117.59 bilion - BNM

    Sementara itu, pelawak dan pelakon Ebby Yus berkata perkataan "sosah" dalam loghat Negeri Sembilan bermaksud “pukul” atau “tibai”.

    “Saya rasa orang yang menulis ini bukan orang Melayu atau bukan orang Negeri Sembilan. Ataupun mungkin dia tersalah tulis,” katanya kepada Malaysiakini.

    Anak jati Batu Kikir itu turut berkata perkataan "susah" tidak berubah dalam dialek Negeri Sembilan.

    “Kalau sosah, itu dah jadi maksud lain. Lomah dibelo, sosah dibantu. Sosah tu kan maksudnya pukul. Yang lemah dibela, yang pukul dibantu? Kan tak ada maksud tu,” ujarnya menyifatkan penggunaan perkataan itu sebagai sesuatu yang kelakar.

    “Tak tahulah orang Negeri Sembilan mana dia jumpa,” tambahnya.

    Tinagaran, 49, yang juga seorang guru tuisyen, pernah bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum 2023, namun tewas kepada Timbalan Presiden BN, Mohamad Hasan, dengan majoriti 19,897 undi selepas memperoleh 779 undi dalam saingan empat penjuru.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Negeri Sembilan berlangsung pada 1 Ogos.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah