Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan membidas tindakan seorang individu yang didakwa berkaitan MCA kerana menularkan imej janaan kecerdasan buatan (AI) memaparkan beberapa pemimpin wanita DAP berketurunan Cina memakai tudung.
Syahredzan menyifatkan hantaran dalam bahasa Cina itu sebagai tindakan menjijikkan dan menghina, yang didakwanya bertujuan meraih sokongan politik masyarakat Cina menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, imej berkenaan cuba memberi gambaran kononnya DAP menggadaikan kepentingan masyarakat Cina demi mendapatkan sokongan orang Melayu.
"Tindakan itu bukan sahaja tidak matang, malah telah mengguris hati umat Islam kerana memperalatkan hijab demi agenda politik peribadi.
Bukan alat ejek
"Hijab bukan peluru politik anda atau alat untuk mengejek pihak lawan.
“Bagi ramai orang, ia adalah sebahagian daripada identiti Muslim, satu kewajipan bagi mereka yang beriman," katanya pada kenyataan di media sosial.
Syahredzan turut mempersoalkan pihak yang terdesak memburu sokongan pengundi sehingga sanggup menggunakan taktik yang dianggap tidak sensitif terhadap agama dan budaya di Malaysia.
"Adakah... begitu terdesak untuk mendapatkan undi Cina di Johor sehingga mereka sanggup merendahkan diri ke tahap ini," katanya lagi.
Terdahulu, Syahredzan berkongsi tangkap layar hantaran media sosial yang memaparkan imej janaan AI beberapa wanita memakai baju Pakatan Harapan sambil bertudung.
Semakan Malaysiakini mendapati hantaran asal itu kini tidak lagi kelihatan dan dipercayai dipadamkan selepas menerima kecaman pelbagai pihak.
Malaysiakini telah menghubungi ibu pejabat MCA dan pihak yang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.
Setakat berita ini ditulis, MCA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu itu.





