Siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset yang dipercayai dimiliki beliau di United Kingdom (UK), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa UK berhubung perkara itu.

"Siasatan melibatkan Dr Mahathir masih lagi dijalankan dan kami sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar terutama sekali pihak UK, pihak autoriti UK berhubung dengan aset-aset yang dimiliki oleh Dr Mahathir.
“Sekiranya (maklumat) dapat diperoleh, kita akan maklumkan kemudian," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Azam pada April 2024 dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.





