Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menafikan dia mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menderhaka kepada bekas Yang di-Pertuan Agong berhubung titah adendum tahanan rumah terhadap Najib Razak.
Hamzah (PN-Larut) berkata dia tidak menamakan Anwar secara khusus ketika membuat kenyataan itu.
“Saya kata kalau ada apa yang telah pun diputuskan oleh mahkamah, kalau benar mereka menyorokkan (titah adendum) itu adalah satu penderhakaan.
“Jadi, siapa yang menderhaka? Mereka yang menyorokkan (titah adendum). Mereka yang menyorok itu mungkin satu, mungkin dua, mungkin tiga. Kita tak tahu siapa,” katanya.
Katanya, untuk mengetahui siapa di pihak kerajaan yang menyorok titah itu, perkara itu hendaklah disiasat
Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) semalam mendakwa Hamzah cuba merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja berhubung isu titah adendum.

Sidang Dewan Rakyat semalam kecoh seketika apabila Hamzah membangkitkan isu itu.
Speaker Johari Abdul justeru melarang perbahasan berkaitan perkara itu serta penggunaan perkataan "derhaka".
Bercakap dalam sidang media di Parlimen, hari ini, Hamzah berkata apa yang diperkatakannya tentang titah itu boleh disemak semula daripada rakaman video serta senarai penyata rasmi (hansard) parlimen.





