Serangan bersenjata ke atas pos kawalan di tepi jalan di Narathiwat, Thailand, menyebabkan lima anggota keselamatan maut dan enam orang awam cedera, termasuk dua orang kanak-kanak.
Menurut Reuters, kira-kira 10 penyerang berbaju hitam dan bertopeng tiba dengan menaiki sebuah trak pikap serta beberapa motosikal sebelum memulakan serangan menggunakan senjata api gred ketenteraan dan bom paip.
Kanak-kanak yang cedera itu adalah seorang budak perempuan berusia tiga tahun dan seorang budak lelaki berusia 10 tahun.
Pihak berkuasa memberitahu penyerang merampas tiga laras senapang AK-47, tiga baju kalis peluru dan beberapa telefon bimbit dari pos kawalan itu sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Pasukan keselamatan kemudian menemui trak pikap yang digunakan dalam serangan itu dalam keadaan ditinggalkan dan dibakar kira-kira 21 kilometer (13 batu) dari lokasi kejadian.
Kerajaan mengecam serangan itu sebagai tindakan keganasan yang memberi "ancaman serius kepada keselamatan negara" serta menjejaskan usaha berterusan untuk memulihkan proses perdamaian, kata jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek dalam satu kenyataan.
Lima renjer maut
Sementara itu, Bernama memetik Panglima Tentera Wilayah Ke-4 merangkap Pengarah Pusat Penerangan Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Leftenan Jeneral Norathip Phoyanok, sebagai berkata serangan itu berlaku kira-kira 6.45 petang waktu tempatan di pos kawalan Markas Renjer 4509 di Bukit Sami, Daerah Rangae.
"Siasatan awal mendapati lebih enam suspek bertopeng dan berpakaian gelap telah menyerang pos kawalan itu dengan melepaskan tembakan serta melontar bom paip ke arah anggota keselamatan," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian pada Khamis.

Norathip berkata kumpulan suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam.
"Serangan itu menyebabkan lima anggota renjer maut di tempat kejadian manakala enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan seorang warga emas, cedera," katanya.
Kawalan sempadan diperketatkan
Sementara itu, Gabenor Narathiwat Boonchuai Hormyamyen mengarahkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera dan pihak pentadbiran memperketat kawalan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand serta di 13 daerah di Narathiwat susulan peningkatan insiden keganasan di wilayah itu.
Katanya, lokasi kejadian kemudiannya ditutup bagi membolehkan pemeriksaan forensik dan pengumpulan bahan bukti dijalankan, manakala siasatan untuk mengenal pasti pihak di sebalik serangan itu masih diteruskan.

Serangan ini merupakan antara yang paling berdarah menyasarkan pasukan keselamatan Thailand dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan berlaku di tengah-tengah kebimbangan baharu terhadap peningkatan keganasan di wilayah sempadan selatan negara itu.
Serangan ke atas pos kawalan itu berlaku sehari selepas sebuah bom kereta meletup di luar balai polis lama Tanyong di lokasi lain di Narathiwat, yang mencederakan seorang anggota polis dan merosakkan bangunan berkenaan.
Wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala, yang majoritinya didiami masyarakat Melayu Islam, menjadi pusat konflik pemisah bersenjata sejak 2004. Lebih 7,000 orang, termasuk orang awam, anggota keselamatan dan pemberontak terkorban dalam keganasan tersebut.
Rundingan damai rasmi antara kerajaan Thailand dengan BRN, kumpulan pemisah utama, dijangka disambung semula pada Jun berikutan gelombang keganasan yang meningkat. Bagaimanapun, perundingan terus berdepan cabaran melibatkan isu-isu utama, termasuk pemerintahan sendiri, tetapan keselamatan dan perwakilan politik.





