Seorang Ahli Parlimen DAP menyambut baik pendirian Presiden MIC, SA Vigneswaran yang mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun menyifatkan perbandingan dengan kes Zahid Hamidi sebagai tidak tepat.
Bagi Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, analogi tersebut adalah “tidak tepat dari sudut undang-undang dan fakta”.
Dia berkata, desakan supaya Anwar meletakkan jawatan susulan isu kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) tidak boleh disamakan dengan pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika berdepan 47 pertuduhan di mahkamah.
Menegaskan kedua-dua situasi itu berbeza secara asas, Chong berkata ketika Zahid dilantik pada 2022, dia sudah pun didakwa secara rasmi atas 47 pertuduhan berkaitan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
“Lebih penting, Mahkamah Tinggi ketika itu sudah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua 47 pertuduhan dan mengarahkan beliau membela diri. Perbicaraan ketika itu sudah berada pada peringkat pembelaan.

“Keputusan prima facie bukan bermaksud sabitan kesalahan dan Zahid masih berhak menikmati prinsip anggapan tidak bersalah. Keputusan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) selepas itu serta keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan kes tersebut juga bermakna dia tidak pernah disabitkan kesalahan. Namun, perkembangan itu tidak menghapuskan hakikat bahawa ketika pelantikannya, sudah wujud dapatan mahkamah bahawa terdapat bukti mencukupi untuk dia menjawab pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada kaitan dengan PM
Bagaimanapun, Chong berkata isu KWAP yang mengalami kerugian kira-kira RM200 juta daripada pelaburan dalam syarikat akuakultur Indonesia, eFishery, adalah berbeza kerana Anwar tidak didakwa, tidak dikaitkan atau dibuktikan terlibat secara peribadi dalam meluluskan pelaburan tersebut.
“Tiada bukti dikemukakan bahawa dia mendapat manfaat daripada transaksi itu, campur tangan dalam proses membuat keputusan KWAP atau menghalang siasatan.
“Fakta awal menunjukkan bahawa KWAP merupakan pelabur minoriti yang telah diperdaya melalui manipulasi kewangan terancang dan laporan kewangan palsu oleh pihak pengurusan eFishery. Pelabur institusi global utama lain termasuk Temasek dan SoftBank turut terjejas dengan perkara sama,” katanya.
Chong berkata walaupun prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya terpakai kepada semua pihak, ia tidak seharusnya digunakan untuk mewujudkan perbandingan salah antara seseorang yang telah didakwa dan diarahkan mahkamah untuk membela diri dengan seseorang yang tidak mempunyai sebarang bukti salah laku peribadi.

“Ini tidak bermakna pihak pengurusan KWAP, panel pelaburan atau penasihat luar terlepas daripada tanggungjawab. Siasatan mesti menentukan sama ada usaha wajar yang mencukupi telah dilakukan, sama ada tanda amaran telah diabaikan dan sama ada berlaku kecuaian atau salah laku. Jika kesalahan dibuktikan, tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Namun, tiada asas fakta, undang-undang atau moral untuk menuntut peletakan jawatan Anwar. Dia telah menyokong siasatan SPRM dan mengarahkan KWAP serta Kementerian Kewangan memberikan kerjasama penuh,” katanya.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Vigneswaran mempertahankan Anwar daripada desakan supaya Perdana Menteri itu meletakkan jawatan berhubung kontroversi pelaburan KWAP, dengan memetik pelantikan Zahid sebagai timbalannya walaupun ketika itu berdepan pertuduhan mahkamah.





