Pakar berpendapat perubahan dasar di Oslo yang didakwa menyebabkan Norway menyekat eksport Peluru Berpandu Tempur Tentera Laut (NSM) ke Malaysia mungkin dibuat atas pertimbangan politik berbanding aspek teknikaliti, sekali gus menghantar dua isyarat kepada Putrajaya.
Penganalisis pertahanan Universiti Malaya, Lam Choong Wah, bagaimanapun berkata setakat ini tidak dapat dipastikan pihak manakah yang bertanggungjawab terhadap keputusan itu.
“Faktor politik ialah berkemungkinan Oslo tidak ingin mengeksportkan NSM yang lebih canggih dari segi jarak tembak, stealth (kemampuan mengelak radar), seeker (kemampuan mengesan sasaran) dan anti-jam kepada Malaysia, yang mungkin mengubahkan status quo keseimbangan kekuatan tentera di Asia Tenggara.
“Contohnya, AS terang-terang mengenakan sekatan eksport misil terhadap beberapa buah negara demi menjaga keseimbangan kekuatan tentera rantau,” katanya kepada Malaysiakini.
Jelas Lam, situasi itu menghantar dua isyarat kepada Malaysia, iaitu pertama, Norway tidak lagi menganggap Malaysia sebagai rakan strategik mereka.
“Kedua, Norway atau kuasa barat yang diwakili oleh Norway tidak ingin melihat Malaysia mempunyai keupayaan serangan jarak jauh dan kuat,” tambahnya.
Lam berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal berita pertahanan Malaysian Defence yang mendakwa Oslo membuat keputusan sepihak dengan menyekat eksport NSM mereka ke Malaysia.
Perubahan dasar di Oslo itu menyebabkan projek kapal tempur pesisir (LCS) milik tentera Malaysia yang lama tertangguh berdepan satu lagi masalah iaitu tidak dilengkapi peluru berpandu antipermukaan.

Sebagai tindak balas kepada laporan media tersebut, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sedang menggunakan saluran diplomatik untuk mendapatkan penjelasan Norway dan mencari langkah seterusnya bagi melindungi kepentingan negara.
Semua lima LCS kelas Maharaja Lela milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepatutnya dilengkapi dengan lapan peluru berpandu sedemikian. Ia terutamanya digunakan untuk menyerang kapal laut dari jarak ratusan kilometer.
Bagaimanapun senjata tersebut juga boleh digunakan terhadap sasaran darat.
Kapal sulung KD Maharaja Lela telah memulakan ujian laut pada Jan lalu dan dijadualkan diserahkan kepada TLDP pada Dis ini.
Perlukan perubahan besar
Bagaimanapun, larangan eksport tersebut bermakna firma pertahanan Norway, Kongsberg, perlu membatalkan kontrak yang ditandatangani mereka dengan Malaysia pada 2018 kerana mereka tidak boleh menghantar peluru berpandu secara sah ke Malaysia yang akan melengkapkan kapal tersebut.
Di samping itu, peralatan sedia ada di LCS, seperti tanjakan untuk pelancar NSM dan pendawaian sampingan, mungkin perlu ditanggalkan.
Sistem pengurusan tempur kapal juga perlu diubah sebaik sahaja kerajaan memilih untuk menerima pakai peluru berpandu yang berbeza.
Ini memberi tekanan tambahan kepada projek yang telah ditangguhkan selama bertahun-tahun itu dan sangat diperlukan oleh TLDM untuk memperbaharui armadanya yang semakin tua.
Larangan eksport bukan sahaja menjejaskan program LCS, tetapi juga pesanan yang dibuat tahun lalu untuk menggantikan peluru berpandu Exocet yang dipasang pada KD Jebat dan KD Lekiu.

Ditanya kesan dasar Oslo itu terhadap program LCS serta perolehan pertahanan dan kesiapsiagaan ketenteraan Malaysia secara lebih umum, Lam berkata, LCS masih boleh memasang misil lain seperti Exocet buatan Eropah.
Tetapi, jelasnya, Exocet ini sudah kira outdated kerana jarak tembaknya yag pendek, tidak stealth, seeker dan anti-jam kurang canggih.
“Selain daripada Exocet, Malaysia masih boleh memperolehi misil dari China, Rusia dan India, tetapi sistem fire control, radar pengesan, kabel dan integrasi dengan combat management system (sistem pengurusan tempur) perlu dibuat pengubahsuaian besar,” katanya.
Lam turut bersetuju bahawa Malaysia perlu mewujudkan kompromi bagi mendapatkan bekalan peluru berpandu lain kerana dari segi politik dan teknikal, ia memerlukan perubahan yang besar.
Selain daripada usaha diplomatik, tambahnya, Malaysia boleh membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Tetap (Permanent Court of Arbitration atau PCA) agar diadakan pembicaraan dan memperoleh ganti rugi apabila Norway mengingkarkan kontrak yang ditandatangani dengan Malaysia.
“Tetapi pertikaian perolehan aset pertahanan jarang dibawa ke PCA kerana ia melibatkan rahsia dan hal-hal sulit ketenteraan.
“Pilihan yang paling rendah ialah Malaysia mengenakan sekatan ekonomi, produk atau diplomatik terhadap Norway,” kata Lam lagi.





