Indonesia bercadang untuk menjadi hos hab simpanan minyak Asean bagi meningkatkan rizab tenaga serantau ketika negara-negara Asia Tenggara berusaha memperkukuh keselamatan tenaga susulan konflik berterusan di Timur Tengah.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata belum ada keputusan muktamad mengenai lokasi hab itu, namun Indonesia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota Asean lain seperti Malaysia, Brunei dan Filipina.
“Kami akan membina simpanan di mana-mana sahaja tetapi saya mencadangkan Indonesia,” kata Bahlil seperti dilaporkan CNA.
Menurutnya, hab minyak serantau mampu membantu membekalkan negara-negara Asia Tenggara sekiranya berlaku gangguan bekalan selain menjadi langkah penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga rantau ini.
Kenyataan itu dibuat susulan lawatan Bahlil ke Filipina minggu lalu bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sempena Sidang Kemuncak Asean ke-48 di Cebu.
Dalam sidang kemuncak itu, para pemimpin Asean mencadangkan beberapa inisiatif baru termasuk simpanan bahan api serantau dan mekanisme kesiapsiagaan keselamatan makanan bagi mengurangkan kesan penutupan Selat Hormuz serta kemungkinan gangguan serupa pada masa hadapan yang boleh menjejaskan bekalan bahan api dan baja ke rantau ini.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berkata kepada media selepas sidang kemuncak pada Jumaat lalu bahawa negara anggota sedang mempertimbangkan satu “mekanisme” bagi mewujudkan simpanan pelbagai produk bahan api yang boleh dikongsi bersama.
"Situasi pada masa ini adalah sangat berbeza bagi setiap negara. Sesetengah negara mempunyai lebihan jenis bahan api tertentu manakala yang lain mengalami kekurangan, dan kami cuba mengimbangi perkara itu," kata Marcos yang merupakan pengerusi blok 11 negara itu bagi tahun 2026.
"Dan apabila sesuatu seperti ini berlaku, peperanangan berlaku dan laluan perdagangan seperti Selat Hormuz ditutup dengan segala kesan yang menyusul - kita mempunyai tempat untuk segera mendapatkan bekalan kecemasan,” tambahnya.
Selain isu simpanan bahan api, sidang kemuncak itu turut membincangkan kesalinghubungan elektrik rentas sempadan dan usaha mempelbagaikan sumber tenaga serantau.
Secara berasingan, Bahlil turut mengumumkan rancangan pembinaan kemudahan simpanan minyak domestik di sebuah zon ekonomi khas di Sumatera bagi meningkatkan rizab strategik Indonesia.
Menurutnya, projek di Sumatera itu akan diteruskan walaupun Indonesia tidak dipilih sebagai hos hab simpanan minyak Asean.
Konflik berterusan antara Iran dan Amerika Syarikat-Israel memasuki minggu ke-11 di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh serta penutupan berterusan Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.
Harga minyak melonjak pada Isnin selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan bahawa gencatan senjata di Iran berada dalam keadaan kritikal susulan maklum balas Tehran terhadap cadangan Amerika Syarikat untuk menamatkan peranang.
Terdahulu pada 4 Mac, Bahlil dilaporkan berkata kementeriannya telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi kemudahan simpanan minyak strategik di Pulau Nipa, Kepulauan Riau, dan menyasarkan pembinaan dimulakan tahun ini.
Tambahnya, rancangan pembangunan simpanan itu telah dibentangkan kepada Prabowo yang mahu pelan berkenaan dilaksanakan secepat mungkin.
“Ini soal kelangsungan hidup. Jika kita mahukan jaminan keselamatan tenaga, kita mesti menangani isu teras dengan segera supaya kita tidak terus bergantung,” kata Bahlil sambil menambah bahawa pelabur telah diperoleh dengan pembiayaan daripada sumber domestik dan antarabangsa, tidak termasuk Amerika Syarikat.





