Pertumbuhan ekonomi Malaysia berkemungkinan merosot pada suku pertama selepas berkembang paling pesat dalam tempoh lebih tiga tahun pada suku sebelumnya, menurut tinjauan pakar ekonomi oleh Reuters.
Menurut laporan media antarabangsa itu, sebahagian besarnya disebabkan oleh normalisasi dalam pertumbuhan.
Penggunaan isi rumah yang kukuh hasil manfaat daripada subsidi bahan api serta eksport terus menyokong ekonomi.
Ekonomi Asia Tenggara itu dijangka berkembang 5.3 peratus tahun ke tahun bagi suku Januari hingga Mac, perlahan daripada pertumbuhan 6.3 peratus pada suku akhir 2025, menurut tinjauan Reuters terhadap 17 pakar ekonomi yang dijalankan antara 6 dan 12 Mei dan selaras dengan anggaran awal yang dikeluarkan pada April.
Ramalan dalam tinjauan tersebut adalah antara 5.1 peratus hingga 5.5 peratus. Data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijadualkan keluar pada Jumaat ini.
“Selagi subsidi bahan api dilaksanakan, aliran tunai isi rumah dilindungi dan ini bermakna pertumbuhan KDNK juga dilindungi daripada pihak isi rumah.
“Sebagai tambahan, faktor pendorong daripada kitaran peningkatan semikonduktor global turut menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata Lavanya Venkateswaran, pakar ekonomi kanan Asean di Bank OCBC.
“Pertumbuhan ekonomi akan perlahan pada suku-suku akan datang, purata setahun penuh masih pada 4.4 peratus, namun ekonomi akan tetap berdaya tahan dan sekurang-kurangnya lebih mampu mengurangkan risiko berbanding beberapa rakan serantau yang lain.”
Anggaran awal menunjukkan ekonomi terus disokong oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian, walaupun ketidakpastian daripada peranang AS-Israel ke atas Iran meningkatkan inflasi di beberapa ekonomi Asia dan menjejaskan permintaan domestik.
Bagaimanapun, sektor perlombongan dan kuari menguncup 1.1 peratus pada suku tersebut disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah, terutamanya bagi minyak mentah dan gas asli.
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.5 peratus tahun ini, selaras dengan julat ramalan Bank Negara Malaysia iaitu 4 hingga 5 peratus, menurut tinjauan berasingan Reuters yang dijalankan pada April.
Bank Negara mengekalkan kadar faedah penanda aras tidak berubah pada 2.75 peratus untuk mesyuarat kelima berturut-turut, dengan memetik jangkaan kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.





