30.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PANDUANKINI | Lynas tingkat pengeluaran: Apa anda perlu tahu?

    Shopee Sale

    PANDUANKINI | Akan berlaku peningkatan sebanyak 16 peratus sisa radioaktif water leach purification (WLP) susulan pertambahan pengeluaran kilang Lynas Advanced Materials Plant (Lamp), menurut laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

    Kilang Lynas di Gebeng, Pahang itu akan menghasilkan keseluruhan 2.55 juta tan metrik sisa WLP menjelang Mac 2031, menurut laporan tersebut.

    Ini menandakan peningkatan lebih 140,000 tan metrik. Tanpa pertambahan itu, jumlah sisa WLP yang dijana dianggarkan mencecah 2.41 juta tan metrik.

    Malaysiakini meneliti maksud perkembangan tersebut dan kenapa ia penting.

    Apa proses EIA ini?

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempamerkan laporan EIA setebal 770 halaman itu untuk semakan awam dari 10 April hingga 9 Mei bagi mendapatkan maklum balas orang ramai sebelum memutuskan sama ada mahu meluluskan rancangan pertambahan pengeluaran Lynas atau tidak.

    Walaupun tempoh pameran awam sudah tamat, jabatan itu masih menerima maklum balas mengenai projek tersebut sehingga 24 Mei. Sementara itu, laporan berkenaan tidak lagi boleh diakses secara umum malah sepanjang tempoh pameran awam ia juga tidak mudah dimuat turun.

    Apa yang perlu diketahui?

    Sisa WLP dijana daripada proses proses penghuraian dan larut lesap (cracking dan leaching) — proses pertama daripada tiga proses penting dalam pengekstrakan unsur nadir bumi (REE).

    Proses “cracking” (penghuraian atau pemecahan kimia) merujuk kepada penapisan unsur nadir bumi daripada kepekatan lantanida menggunakan asid sulfurik bersuhu tinggi di bawah tekanan atmosfera tinggi. Air kemudian digunakan dalam proses leaching (larut lesap) untuk menghasilkan larutan sulfat lantanida.

    Berdasarkan piawaian Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berpangkalan di Austria, sisa WLP dianggap sisa radioaktif kerana mengandungi lebih satu becquerel per gram (Bq/g) Thorium-232 (Th-232).

    Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pada Februari lalu bahawa WLP hanya mengandungi enam Bq/g, sekali gus diklasifikasikan sebagai “sisa tahap sangat rendah” mengikut panduan keselamatan IAEA.

    Di mana sisa akan disimpan?

    Pelan kontingensi utama ialah menggunakan kemudahan penyimpanan sisa (RSF) di tapak kilang untuk menyimpan WLP baru dijana sebaik kemudahan pelupusan kekal (PDF) sedia ada penuh.

    RSF — yang pada asalnya bertujuan menyimpan sisa neutralisation underflow (NUF) — akan menyediakan kapasiti tambahan kira-kira 0.5 juta tan metrik, atau cukup untuk digunakan semula sebagai tempat simpanan WLP.

    Sisa NUF pula akan dipindahkan dan disimpan di kemudahan penyimpanan jangka panjang baru di luar tapak yang dicadangkan kira-kira 800 meter di sebelah barat kilang Lynas di Gebeng.

    Kemudahan itu akan dibina di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang seluas hampir 95 padang bola sepak, atau 252.95 ekar (102.37 hektar).

    Bagi PDF sedia ada pula, laporan itu menyatakan kemudahan tersebut sudah dipenuhi kira-kira 84 peratus setakat Februari tahun ini.

    Apa projek pengekstrakan thorium?

    Laporan EIA menekankan jangkaan Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk beralih kepada pengekstrakan thorium menjelang Mac 2031 bagi menghentikan penjanaan sisa WLP.

    Proses itu akan menghasilkan dua produk sampingan “bernilai”, iaitu fosfat besi bukan radioaktif untuk baja dan produk kaya thorium.

    Bagaimanapun, laporan itu menegaskan pengekstrakan thorium hanya akan menggunakan sisa WLP yang baru dijana.

    Projek tersebut memasuki fasa perindustrian pada Mac tahun ini manakala pembinaan fizikal dan pengubahsuaian kilang untuk pengekstrakan thorium akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Pada Mac 2031, projek itu dijangka mencapai tahap perindustrian penuh, dengan penjualan thorium yang diekstrak dijangka bermula pada tahun berikutnya.

    Dinamakan sempena Thor, dewa petir dalam mitologi Nordic, thorium ialah logam semula jadi. Disebabkan takat leburnya yang tinggi, bentuk thorium bukan radioaktif digunakan untuk menghasilkan bahan tahan haba seperti komponen industri aeroangkasa, seramik dan peralatan makmal.

    Minat terhadap penggunaan bentuk radioaktif thorium — Th-232 — sebagai bahan api nuklear untuk penjanaan tenaga semakin meningkat kerana ia lebih banyak ditemui secara semula jadi berbanding uranium.

    Perkara itu turut disokong laporan EIA yang menyatakan thorium diekstrak mempunyai “potensi aplikasi dalam tenaga nuklear dan teknologi maju lain”.

    Bagaimanapun, sebelum ini dilaporkan rancangan itu bersifat “spekulatif” kerana tiada petunjuk nyata bahawa wujud pasaran bagi thorium sebagai bahan api nuklear.

    Ini kata pakar tenaga kerana semua reaktor nuklear menggunakan bahan api thorium di seluruh dunia setakat ini masih berada pada peringkat eksperimen atau demonstrasi, dan belum dikomersialkan secara meluas.

    Sebelum ini, Chang berkata thorium itu boleh dijual sebagai bahan api kepada negara yang menggunakan tenaga nuklear, namun tidak memperincikan negara mana atau loji apa yang akan menggunakannya. Pada tahap ini, teknologi tersebut masih bersifat eksperimen.

    Beberapa negara yang melabur besar dalam reaktor thorium — seperti India dan China — masih berusaha memanfaatkan rizab thorium mereka sendiri bagi meningkatkan keselamatan tenaga.

    Apa pertambahan pengeluaran Lynas?

    Bukan saja pengeluaran kepekatan lantanida akan ditingkatkan daripada 95,000 kepada 110,000 tan metrik setahun, malah kilang itu juga akan mula memproses 69,000 tan metrik mixed rare earth carbonate setiap tahun.

    Pada 9 April, Lynas Rare Earths mengumumkan rancangan meningkatkan pengeluarannya di Malaysia dengan pengekstrakan tiga “oksida nadir bumi berat” yang sangat diperlukan industri, selepas China menyekat eksport REE tahun lalu.

    Menurut laporan AFP yang memetik pegawai Lynas, dysprosium, terbium dan samarium digunakan dalam magnet berprestasi tinggi untuk industri maju seperti elektronik dan aeroangkasa.

    REE merujuk kepada kumpulan 17 logam dan oksidanya yang digunakan dalam pelbagai aplikasi teknologi tinggi. Ia mempunyai kepentingan strategik dalam peranang perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat dan China.

    Kemudahan Lynas di Pahang bukan saja mampu menghasilkan REE ringan, malah merupakan satu-satunya pengeluar utama REE berat di luar China, sekali gus menjadi satu-satunya pengeluar yang tidak tertakluk kepada sekatan eksport mineral kritikal China.

    MENARIK:  K'jaan tumpu laksana subsidi diesel hingga sasaran stabil

    Lynas melombong mineral nadir bumi dari Mt Weld di Australia Barat, memprosesnya dan kemudian menghantarnya ke Lamp untuk penapisan dan pengasingan sisa menjadi oksida nadir bumi.

    Kenapa pengeluaran Lynas perlu ditambah?

    Menurut kenyataan keperluan dalam laporan EIA, pertambahan itu didorong permintaan global terhadap REE.

    Laporan tersebut menyebut ledakan permintaan REE akibat kemunculan teknologi baru dan kemajuan dalam sektor seperti perubatan, automotif, elektronik dan penjagaan kesihatan.

    Malaysia, menurut laporan itu, berada pada kedudukan baik untuk muncul sebagai pemain utama.

    “Namun, negara berdepan cabaran besar untuk mencapai cita-cita ini, khususnya dalam mengenal pasti pemain tepat yang memiliki kemajuan teknologi diperlukan bagi membangunkan sektor huluan, pertengahan dan hiliran REE secara mampan dan efisien,” menurut laporan itu.

    Penilaian berkenaan juga menyebut sistem kawalan pencemaran sedia ada di kilang tersebut mampu menampung peningkatan beban tanpa memerlukan naik taraf besar.

    Selain itu, pertambahan tersebut dianggap selaras dengan beberapa rangka kerja peranancangan nasional dan wilayah utama termasuk Dasar Mineral Negara dan Rancangan Fizikal Negara Keempat.

    Apa syarat lain dalam pembaharuan lesen Lynas?

    Bermula 3 Mac lalu, lesen operasi Lynas di Malaysia dilanjutkan selama 10 tahun.

    Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, pembaharuan itu disertakan beberapa syarat termasuk:

    • semakan setiap lima tahun,

    • tiada lagi PDF akan dibina untuk pelupusan sisa WLP melebihi had di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984,

    • Lynas mesti menghentikan pengeluaran semua sisa radioaktif WLP baru menjelang 2 Mac 2031,

    • sebarang sisa dihasilkan sementara itu mesti dineutralkan bagi mengurangkan tahap radioaktivitinya, dan

    • syarikat perlu menyumbang satu peratus daripada hasil jualan kasar tahunan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Chang turut berkata Lynas diberi tempoh lima tahun sehingga 2031 untuk menghentikan pengeluaran sisa WLP selepas ujian makmal menunjukkan kemungkinan “meneutralkan” bahan radioaktifnya melalui pengekstrakan thorium.

    “Namun, untuk meningkatkan sebarang kejayaan R&D daripada peringkat makmal ke tahap industri lazimnya mengambil masa tujuh hingga 10 tahun. Kami memberi Lynas lima tahun untuk mengubah suai peralatan dan meningkatkan operasi.

    “Ini tempoh tegas tetapi dipercepatkan, dan mereka sudah komited untuk mematuhinya,” katanya.

    Secara berasingan, Chang memberitahu Parlimen tahun lalu bahawa Lynas diwajibkan mematuhi pelan pengurusan sisa radioaktif Jabatan Tenaga Atom yang meliputi pematuhan undang-undang, pemantauan dan mitigasi risiko.

    Apa kritikan terhadap Lynas, kerajaan?

    Kumpulan alam sekitar dan aktivis menyuarakan kebimbangan mengenai penyimpanan sisa radioaktif di Malaysia kerana bimbang risiko jangka panjang terhadap kesihatan dan alam sekitar, khususnya pencemaran radiologi.

    Pada masa sama, Sahabat Alam Malaysia (SAM) membangkitkan kebimbangan bahawa syarat dikenakan dalam pembaharuan lesen itu dilihat sebagai “smokescreen” (cuba mengeburi mata) untuk mengekalkan status quo sambil membenarkan syarikat pemprosesan nadir bumi itu terus menghasilkan dan menimbunkan sisa radioaktif.

    Anwar Ibrahim ketika protes membantah Lynas pada 2012.

    Setiausaha SAM, S Mageswari, turut berkata perbincangan mengenai R&D bersifat spekulatif, selain menuduh kerajaan berpatah balik daripada syarat sebelum ini yang mewajibkan Lynas membawa pulang sisanya ke Australia.

    Begitu juga, NGO Greenpeace Malaysia dan Save Malaysia Stop Lynas melalui kenyataan bersama mendakwa pengekstrakan thorium “tidak praktikal dari sudut ekonomi dan teknikal” kerana sisa WLP hanya mengandungi purata 1,758 bahagian per sejuta thorium.

    Selain itu, Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) mempersoalkan sikap tidak adil Australia dalam eksport proses industri berbahaya ke negara membangun.

    Kebimbangan lain tertumpu kepada kemungkinan penglibatan Malaysia dalam aktiviti ketenteraan yang dikaitkan dengan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, apabila penyokong pro-Palestin merujuk perjanjian Lynas dengan kerajaan AS untuk membekalkan mineral kritikal kepada industri pertahanannya.

    Apa jawapan Lynas terhadap kritikan?

    Jurucakap Lynas memberitahu Malaysiakini bahawa kilangnya telah melalui empat semakan saintifik bebas yang mendapati operasinya berisiko rendah serta mematuhi peraturan dan amalan terbaik antarabangsa.

    Jurucakap itu berkata kilang Lynas beroperasi di bawah syarat-syarat keselamatan dan pengurusan alam sekitar yang ketat, yang dikuatkuasakan pihak pengawal selia berkaitan, sambil menambah pemantauan berkala dilakukan oleh Lynas, pakar bebas dan pengawal selia bagi memastikan pematuhan.

    Kilang itu juga mematuhi syarat keselamatan dan alam sekitar yang ketat di bawah penguatkuasaan pihak berkuasa manakala Lynas sendiri menjalankan pemantauan berkala.

    “Lynas tidak pernah terlibat dalam insiden yang menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan awam atau alam sekitar, mencerminkan kekuatan proses dan dasar kami,” kata jurucakap itu.

    Pada Februari tahun lalu, Lynas menekankan pengurusan sisa dan produk sampingannya, sambil menegaskan ketelusan dalam pelantikan Gading Senggara Sdn Bhd sebagai kontraktor PDF untuk sisa WLP.

    Syarikat itu turut merujuk kenyataan Jabatan Alam Sekitar Pahang yang menurutnya mendapati air yang keluar dari Kawasan Perindustrian Gebeng mempunyai kualiti lebih baik berbanding air masuk ke kawasan tersebut.

    Di laman webnya, Lynas menggambarkan kilangnya di Malaysia sebagai “kemudahan pemprosesan nadir bumi bertaraf dunia dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar”.

    Gambar fail, CEO Lynas Malaysia Amanda Lacaze.

    “Pemantauan alam sekitar dijalankan oleh Lynas dan pihak berkuasa kawal selia (udara, air, udara ambien) sejak Lynas Malaysia mula beroperasi pada 2012 menunjukkan tiada kesan alam sekitar daripada operasi Lynas Malaysia terhadap orang awam dan alam sekitar,” katanya.

    Kritikan terhadap operasi Lynas di Malaysia melambangkan keraguan awam terhadap proses di sebalik penghasilan teknologi hijau.

    Walaupun konflik yang semakin memuncak di Asia Barat menekankan kepentingan peralihan daripada bahan api fosil, kebimbangan sedemikian terus meningkat dalam kalangan aktivis dan komuniti.

    Walaupun langkah akauntabiliti awam dan ketelusan banyak membantu meredakan kebimbangan itu, ia turut menimbulkan persoalan penting: apakah harga yang perlu dibayar terhadap alam sekitar demi pembangunan teknologi hijau dan kemajuan persenjataan era baru?

    [Baca laporan asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah