Timbalan Presiden MIC M Saravanan menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menafikan penglibatannya dalam urusan pengambilan pekerja asing, selain mendakwa dua individu dipaksa mengaitkannya dengan perkara itu.
Melalui surat bertarikh 24 Ogos yang dilihat Malaysiakini, bekas menteri sumber manusia itu menyifatkan tohmahan terhadapnya sebagai "liar dan tidak berasas", serta menegaskan dia dan keluarganya tidak pernah terlibat secara peribadi dalam proses pengambilan pekerja asing.
Saravanan ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan surat berkenaan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam namun enggan mengulas lanjut.
Dia turut mengesahkan klip video yang memaparkan dirinya telah diedarkan kepada ahli MIC. Dalam rakaman itu, Saravanan berkata dia akan didakwa esok.

SPRM sebelum ini memaklumkan seorang bekas menteri akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Sementara itu, Saravanan pada suratnya mengatakan dua ahli perniagaan telah ditahan pada Ogos 2022 berhubung proses pengambilan pekerja asing.
Seorang daripada mereka meninggal dunia pada 28 Julai lalu manakala seorang lagi menghidap penyakit buah pinggang kronik.
"Kedua-dua individu ini telah dipaksa membuat pengakuan di luar kerelaan mereka hanya untuk mengaitkan nama saya demi niat jahat pihak tertentu," dakwanya.

Saravanan mendakwa suspek yang telah meninggal dunia dan hanya dikenali sebagai "Syed Amirul" dibebaskan empat hari selepas dia "bersetuju untuk mengaitkan namanya".
Bekas menteri itu turut mendakwa SPRM pernah mengugut untuk menangkap isteri Syed Amirul.
Menurut Saravanan, suspek kedua pula direman selama enam hari kerana enggan memberikan kenyataan yang mengaitkan dirinya dan terpaksa menjalani rawatan dialisis ketika dalam tahanan.
Katanya, suspek kedua kini bersedia untuk memberikan keterangan di mahkamah.
Tandatangan afidavit
"Sebaik sahaja Syed Amirul dibebaskan dengan jaminan tunai RM10,000, beliau dan isterinya cuba membetulkan kenyataan berunsur fitnah tersebut namun dihalang oleh pegawai SPRM.
"Atas nasihat peguam, Syed Amirul dan isterinya telah menandatangani satu afidavit di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada 22 September 2022, yang mana salinannya turut diserahkan kepada SPRM.
"Berikutan pengakuan dan kesilapan itu, SPRM pada 26 Jun 2023 telah memulangkan wang jaminan dan mengesahkan bahawa kes berkenaan telah diselesaikan tanpa sebarang siasatan dijalankan terhadap saya," tambahnya dalam surat setebal 15 halaman itu.

Bagaimanapun, Saravanan berkata SPRM memanggil semula Syed Amirul dan isterinya untuk disoal siasat pada November tahun lalu.
"Berdepan situasi ini, Syed Amirul dan isterinya mengambil pendirian lebih tegas dengan mengemukakan satu lagi afidavit bagi mengesahkan semula pengakuan (bahawa dia dipaksa mengaitkan Saravanan) yang dibuat pada tahun 2022.
"Sayangnya, Syed Amirul telah meninggal dunia pada 28 Julai 2026. Kini, SPRM dilihat cuba meneruskan tindakan terhadap saya walaupun saksi utama sudah tiada lagi," katanya.
Menurut Saravanan lagi, antara perkara yang menurutnya penting dalam kes itu ialah:
-
Tiada wang tunai atau bahan bukti yang didakwanya mempunyai kaitan dengannya dirampas dalam kes itu.
-
Dia mendakwa tidak pernah memberikan arahan kepada mana-mana pegawai kerajaan, manakala kuasa memberikan kelulusan bukan di bawah bidang kuasanya.
-
Dia juga mendakwa tidak mengenali mana-mana pemohon yang dinamakan dan tidak pernah berkomunikasi dengan Syed Amirul atau mana-mana individu lain sepanjang proses berkenaan.

Katanya, dia mengadakan beberapa perbincangan dengan Anwar sejak November 2025 dan mendakwa menerima jaminan daripada perdana menteri bahawa tiada tindakan akan diambil terhadapnya.
"Bagaimanapun, saya amat kecewa apabila SPRM secara tiba-tiba memulakan tindakan undang-undang/siasatan terhadap saya.
"Untuk makluman YAB Dato' Seri, kes ini jelas tidak berasas dan sepatutnya dihentikan serta-merta bagi memelihara integriti semua pihak yang terlibat," katanya.
Saravanan turut menzahirkan keyakinan bahawa Anwar sebagai ketua kerajaan, "amat prihatin dan sedar" bahawa tindakan terhadapnya merupakan "satu bentuk pendakwaan terpilih serta mempunyai niat jahat daripada agensi kerajaan".
"Saya amat menghargai keprihatinan dan tindakan sewajarnya daripada YAB Dato' Seri. Terima kasih," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi SPRM dan PMO untuk mendapatkan ulasan.
[Baca berita asal]





