Bekas Menteri Sumber Manusia M Saravanan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Saravanan, 58, tiba pada jam 8.26 pagi dengan diiringi pegawainya.
Timbalan Presiden MIC itu dijangka menghadapi pertuduhan berhubung kuota pengambilan pekerja asing di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan dengan perbuatan meminta, menerima, memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan secara rasuah.
Pengamal media dan penyokong ahli politik itu dilihat berada di pekarangan kompleks mahkamah seawal 7.45 pagi bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes terhadap Saravanan akan disebut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada 9 pagi.





