26.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Saman RM30j: Tiada kes untuk dijawab, kata Vinod dan isteri

    Shopee Sale

    Ahli perniagaan, Vinod Sekhar, dan isterinya, Winny Yeap, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman RM30 juta difailkan oleh 12 individu, tidak akan memberi keterangan di mahkamah kerana menganggap "tiada kes untuk dijawab".

    Itu adalah hujah yang dikemukakan oleh peguam pasangan terbabit, Rajan Navaratnam, di hadapan pesuruhjaya kehakiman Kuala Lumpur Adam @ Edward Abdullah semasa prosiding berlangsung pada 25 Jun lalu.

    Rajan berhujah demikian selepas peguam plaintif, Colin Andrew Pereira, memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Adam – pada 19 Jun lalu – yang memutuskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak perlu hadir dalam prosiding tersebut.

    Rajan juga menambah anak guamnya tidak memberikan arahan untuk menutup kes berkenaan.

    Peguam itu berkata "tiada kes untuk dijawab" oleh Vinod dan Yeap kerana plaintif gagal membuktikan kes mereka terhadap defendan mengikut imbangan kebarangkalian berdasarkan peruntukan Seksyen 101 Akta Keterangan 1950.

    Seterusnya, peguam terbabit mengesahkan kepada mahkamah bahawa defendan tidak akan memberikan sebarang bukti, dan oleh itu, mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut.

    Vinod pada mulanya dijadualkan untuk memberi keterangan pembelaan pada Khamis lalu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk plaintif memfailkan nota prosiding dan hujah bertulis mereka, manakala 1 Sept sebagai tarikh untuk defendan menjawab.

    Vinod Sekhar

    Tarikh 15 Sept pula ditetapkan untuk plaintif memfailkan jawapan lanjut.

    MENARIK:  Titah adendum: Jangan libat Majlis Raja-raja, bincang di parlimen - MP PKR

    Mahkamah turut menjadualkan 2 Okt depan untuk penjelasan dan plaintif membuat hujah lisan.

    Pereira – semasa permulaan prosiding Khamis lalu – telah memohon untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan Adam yang mengetepikan sapina ke atas Anwar.

    Peguam plaintif berhujah, terdapat keadaan khas yang memerlukan penangguhan sementara prosiding pada hari tersebut.

    Bagaimanapun, Rajan berhujah keputusan mahkamah untuk mengetepikan sapina itu tidak boleh dirayu dan oleh itu keseluruhan sebab rayuan plaintif terbatal.

    Mahkamah menolak permohonan Pereira dan menganugerahkan kos RM5,000 kepada defendan.

    Pereira kemudian meminta penangguhan sementara untuk memfailkan permohonan baru di Mahkamah Rayuan bagi membolehlah prosiding mahkamah tinggi ditangguhkan. Permohonan tersebut turut ditolak.

    Saman itu difailkan terhadap Vinod dan Yeap pada 2024 atas dakwaan salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak. Plaintif mendakwa ahli perniagaan terbabit memujuk mereka untuk melabur, sama ada secara peribadi atau melalui syarikat, tanpa mendedahkan status yang didakwa muflis.

    Mereka juga mendakwa kebimbangan yang dibangkitkan dalam e-mel bertarikh 30 Sept 2020 telah ditolak oleh Vinod dan dia didakwa memberitahu bahawa seseorang yang bernama "Anwar" akan menyelesaikan perkara itu.

    Penjelasan itu didakwa plaintif menyebabkan mereka percaya yang ia merujuk kepada perdana menteri.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah