32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Sabah berhak dapat jawapan’: Warisan desak AGC status siasatan skandal perlombongan

    Shopee Sale

    Warisan menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan jelas mengenai status kertas siasatan tertunggak yang dikaitkan dengan skandal perlombongan Sabah, yang mengaitkan lebih sedozen ahli politik.

    Pengarah komunikasi strategik parti itu, Christopher Masudal berkata skandal berkenaan mula terbongkar pada Disember 2024 manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada November tahun lalu mengesahkan siasatan masih berjalan dan kerajaan tidak melindungi sesiapa daripada pendakwaan.

    Bagaimanapun, tiada perkembangan mengenai perkara itu sejak itu.

    “Hari ini, hampir 19 bulan selepas skandal itu mula terbongkar dan lebih setahun selepas kertas siasatan diserahkan kepada AGC, hanya dua individu (ahli politik Sabah) telah didakwa, manakala individu lain yang dinamakan dalam siasatan terus berada dalam keadaan tidak menentu.

    “Rakyat Sabah berhak mengetahui status sebenar kes ini dan sebab di sebalik kelewatan berpanjangan itu,” kata Christopher dalam satu kenyataan.

    “Ini bukan sekadar perkara berkaitan prosedur. Kelewatan berterusan berisiko menghakis kepercayaan orang ramai, bukan sahaja terhadap individu yang dituduh tetapi juga terhadap sistem demokrasi dan tadbir urus.

    “Ia menjejaskan keyakinan terhadap pentadbiran negeri apabila persoalan mengenai ketelusan dan akauntabiliti masih belum terjawab.

    “Penjelasan segera juga penting demi berlaku adil kepada individu yang dinamakan supaya mereka yang tidak bersalah dapat membersihkan nama tanpa terus dibayangi syak wasangka orang ramai untuk tempoh tidak terbatas,” tambahnya.

    Ahli politik Sabah yang didakwa ialah Yusof Yacob dan bekas pembantu menteri negeri, Andi Suryady Bandy.

    MENARIK:  Wan Fayhsal: Ada pihak ketiga cucuk Bersatu ketepikan Hamzah

    Meskipun berdepan kemelut undang-undang, Yusof dilantik sebagai pengerusi Sabah Development Bhd (SDB) pada awal tahun ini.

    Bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin dan ahli perniagaan yang mendedahkan skandal itu, Albert Tei turut didakwa berhubung skandal berkenaan.

    Rasuah jejas pelaburan

    Christopher menegaskan penyelesaian segera terhadap skandal itu juga penting untuk Sabah kerana iklim pelaburan negeri bergantung kepada sistem tadbir urus yang telus, bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

    “Penyelidikan Transparency International sendiri menunjukkan rasuah menjejaskan pertumbuhan ekonomi, memesongkan persekitaran perniagaan, menghalang produktiviti dan daya saing syarikat serta menyekat pelaburan langsung asing.

    “Penyelidikan mereka juga mendapati pelabur sendiri menyuarakan kebimbangan bahawa skandal rasuah boleh menyebabkan pembiayaan pelaburan digantung atau ditarik balik,” tambahnya.

    Christopher berkata, selagi skandal Sabah itu tidak diselesaikan, ia akan terus menjejaskan keyakinan pelabur terhadap pengurusan sumber negeri serta kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang stabil.

    “Saya menggesa AGC dan SPRM mempercepat semakan terhadap kertas siasatan yang masih tertunggak serta memberikan perkembangan kepada orang ramai mengenai status sebenar kes ini dalam masa terdekat,” tambahnya.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah