Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terlalu bergantung kepada Boustead Holdings Bhd (BHB), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, hari ini.
Dia berkata keputusan Kementerian Pertahanan untuk menghentikan pelan penstrukturan LTAT telah menghalang transformasi mendesak dana tersebut.
"Struktur Boustead sebagai syarikat pengantara antara LTAT dgn syarikat-syarikat yang menjana keuntungan perlu dirombak semula (dengan mengambil kira pelbagai krisis dan skandal yang melibatkan Boustead),” katanya.
Pengerusi PAC turut menggesa Jabatan Audit Negara untuk menjalankan audit terperinci ke atas kewangan dan tadbir urus BHB.





