Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, hari ini menggesa tindakan segera diambil terhadap Zamri Vinoth dan mendesak supaya hantaran pendakwah itu yang membandingkan laungan penganut Hindu semasa Thaipusam dengan orang yang "dirasuk atau mabuk" dipadamkan.
Ahli Parlimen DAP itu berkata tindakan mesti diambil terhadap Zamri di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Jika hantaran Zamri tidak dipadamkan, ia berpotensi menjadi tular dan menyebabkan lebih banyak kemudaratan, kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.
"Penghinaan dan ejekan terhadap agama Hindu oleh pendakwah Zamri dalam hantaran media sosial baru-baru ini mesti dikecam, dan siasatan ke arah pendakwaan terhadapnya perlu dimulakan tanpa sebarang kelewatan. Jika tidak, dia mungkin terus mencetuskan ketegangan serta keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang agama di negara ini.
"Tidak dapat dinafikan bahawa kenyataan Zamri dalam hantaran tersebut, di mana dia menyentuh tentang amalan penganut Hindu membawa kavadi semasa Thaipusam, adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif. Keadaan ini lebih memburukkan lagi kerana ia dibuat sejurus selepas penghinaan oleh DJ Era FM, yang sekurang-kurangnya telah memohon maaf atas tindakan mereka," katanya.
Dia menambah tindakan harus diambil terhadap Zamri bagi mengelakkan dakwaan berlaku pendakwaan terpilih terhadap pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap, yang baru-baru ini didenda kerana membuat jenaka dalam talian mengenai isu sandwic "ham" yang mencetuskan kontroversi pada Januari.

Ramkarpal berkata kenyataan Zamri melanggar Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan menghina dengan niat mencetuskan ketenteraman awam serta kenyataan yang boleh mendatangkan kacau-bilau.
Rayer lapor polis
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, telah membuat laporan polis terhadap Zamri malam tadi.
“Tindakan Zamri ini adalah perbuatan sengaja untuk mencetuskan ketegangan kaum dan mengganggu keharmonian di negara yang aman ini,” kata Rayer di Facebook.

Ahli Parlimen DAP itu menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pendakwah tersebut kerana mempelekeh Thaipusam serta mengaitkan ejekan itu dengan insiden di Kuil Seafield yang mengakibatkan kematian seorang anggota bomba.
‘Macam kena rasuk, mabuk’
Terdahulu, dalam satu hantaran di media sosial, Zamri mendakwa masyarakat tidak berasa terhina apabila "penganut Hindu melaungkan ‘vel vel’ dan menari macam orang kena rasuk sambil mabuk todi."
Dia berkata orang lain hanya meniru amalan Hindu, namun penganut agama itu tersinggung apabila perkara itu berlaku.
"Jika anda rasa ia menghina, maka hentikan perbuatan itu supaya orang lain tidak mengikutinya.
"Jika anda memilih untuk meneruskannya, maka jangan tersinggung (apabila orang lain mengejeknya). Jadi, pilih salah satu," katanya.
Zamri turut memuat naik gambar dengan kapsyen yang berbunyi bahawa laungan "vel vel" tidak menyebabkan kehilangan nyawa seperti yang berlaku kepada anggota bomba Adib Kassim, yang meninggal dunia dalam rusuhan di luar sebuah kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor, pada 2018.
Laungan "vel vel" merujuk kepada pemujaan terhadap Dewa Hindu, Lord Muruga, dan sering dilaungkan semasa Thaipusam ketika seseorang membawa kavadi.
Zamri mengulas mengenai insiden membabitkan tiga penyampai radio Era FM yang sedang disiasat berhubung video TikTok yang menunjukkan salah seorang daripada mereka menari sambil seorang lagi melaungkan "vel vel".
Para penyampai itu, yang telah pun memohon maaf, turut digantung tugas sementara menunggu siasatan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.





